Kuarters kerajaan tidak berpenghuni di Jalan Pesta, Bakri tempat rangka manusia ditemui.

MUAR – Polis menemukan satu rangka manusia di dalam sebuah kuarters kerajaan tidak berpenghuni di Jalan Pesta, Bakri di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Muar ACP Zaharudin Rasip berkata siasatan menemukan sekeping kad pengenalan berdekatan rangka berkenaan dan waris telah mengesahkan kad pengenalan itu milik anggota keluarganya yang hilang dua tahun lepas.

“Sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Muar bersama Pasukan Forensik Hospital Pakar Sultanah Fatimah Muar telah menjalankan siasatan di tempat kejadian dan tiada sebarang ketinggalan perlakuan berunsur jenayah dijumpai.

“Prosedur siasatan dibuat dalam menentukan punca kematian dan pengesahan identiti si mati dalam kes ini. Kes disiasat sebagai mati mengejut,” katanya dalam kenyataan di sini ,hari ini.

Gambar penemuan rangka itu menjadi tular di media sosial semalam dan menjadi perbincangan orang ramai.

Zaharudin berkata sehubungan itu pihak polis memohon kerjasama semua pihak untuk tidak menyebarkan apa jua bentuk maklumat berkaitan penemuan rangka manusia ini bagi mengelakkan sebarang spekulasi berkaitan kejadian itu.

“Tindakan yang tidak bertanggungjawab tersebut hanya boleh membangkitkan keresahan dan salah erti dalam kalangan masyarakat,” katanya.

— BERNAMA

Tinggalkan Jawapan