Dr Maszlee Malik
Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik

KUALA LUMPUR –   Kementerian Pendidikan telah mewujudkan jawatankuasa khas bagi mengkaji dan mengumpul fakta berhubung Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) secara menyeluruh.

Menterinya, Dr Maszlee Malik berkata, penyelidikan holistik tentang pengiktirafan UEC mempunyai dua komponen iaitu kajian dalaman yang dilakukan oleh pihak kementerian sendiri.

Jelas Maszlee, pengumpulan maklumat dilakukan oleh satu jawatankuasa khas dikenali sebagai Pasukan Petugas Dasar Unified Examination Certificate (PPDUEC).

“Ianya dianggotai oleh tokoh masyarakat dan pendidikan yang diketuai oleh Dr. Eddin Khoo anak kepada Prof Khoo Kay Kim yang turut dibantu oleh Presiden ABIM, Mohamad Raimi Abdul Rahim dan Timbalan Presiden Dong Zhong, Tan Yew Sing.

“Pasukan ini penting bagi mengumpul pandangan dan maklum balas dengan semua pemegang taruh yang berkepentingan, proses ini libatkan pihak yang pro, kritikal serta neutral tentang UEC.

“Kita tidak tergesa-gesa tetapi pada masa yang sama tidak juga tidak menepati janji. Semua ini perlu dilakukan kerana kerajaan terdahulu langsung tidak pentingkan usaha libat urus hanya biarkan ianya terus menjadi bahan politik.

“Kerajaan Pakatan Harapan (PH) lebih bertanggungjawab telah memulakan usaha substantive untuk isu UEC yang hakikatnya sangat penting. Pengumpulan fakta perlu dibuat secara rasional dan tidak prejudis,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan bekas Menteri Pendidikan merangkap Ahli Parlimen Padang Terap (BN), Datuk Seri Madzhir Khalid hari ini di Dewan Rakyat.

Dalam pada itu, kata Maszlee, fakta-fakta yang dikumpulkan oleh Jawatankuasa ini bakal dibawa kepada peringkat kabinet sebelum sebarang keputusan berkait dengannya dilaksanakan pada masa kelak.

“Pengiktirafan UEC bukan sekadar isu peperiksaan semata-mata sebaliknya melibatkan isu perundangan, integrasi nasional dan lebih penting lagi masa depan anak-anak bangsa,” ujarnya.

UEC ialah sijil yang dikeluarkan Sistem Sekolah Menengah Persendirian Cina Malaysia dan pelaksanaannya tidak mengikut sistem pendidikan kebangsaan.

Janji untuk mengiktiraf sijil lepasan sekolah menengah Cina persendirian itu sebenarnya termasuk dalam fasa kedua manifesto yang merangkumi 60 janji yang akan dilaksanakan dalam tempoh 5 tahun.

UEC adalah peperiksaan seragam untuk pelajar di 60 sekolah menengah Cina di seluruh negara, sejak 1975 dengan sukatan pelajaran dibangunkan Dong Zong, apabila sekolah Cina tidak mahu menerima pakai bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. –MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan