Maszlee
Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik menerima replika cek dari Pengarah Urusan dan Rakan Niaga Tempatan McDonald's Malaysia, Azmir Jaafar (kiri) dan Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, Shaari Osman (kanan) pada Majlis Penyerahan Pek ‘Kembali Ke Sekolah’ anjuran McDonald’s Malaysia dan Persatuan Kebajikan Ronald McDonald Malaysia di Sekolah Kebangsaan Bukit Bandaraya, Jalan Bangkung, Bangsar, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 30 OKTOBER 2018

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan akan memperkenal dan melancarkan kempen menerap nilai murni serta dekad membaca dalam kalangan murid prasekolah sehingga ke universiti.

Menterinya, Dr Maszlee Malik berkata, kempen itu diadakan dengan kerjasama McDonald’s dengan mewujudkan perpustakaan mini di restorannya di seluruh negara.

Selain itu katanya, media cetak, elektronik, media sosial dan syarikat swasta juga akan dilibatkan dalam usaha menarik orang ramai turut serta dalam kempen itu.

“Untuk tahun depan, saya telah berbincang dengan Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia (RMHC), Azmir Jaafar untuk rancang ke tahap yang lebih proaktif lagi iaitu 2019 kementerian saya akan melancarkan kempen dekad membaca kebangsaan dan kita akan melancarkan kempen menerapkan nilai-nilai murni.

“Kita berharap McDonald’s akan turut serta berkempen ke arah memperkenalkan nilai-nilai murni ini, yang mana kita merencanakan setiap dua minggu sekolah akan memperkenalkan nilai-nilai murni yang berbeza di perhimpunan sekolah.

“Peranan McDonald’s pula menarik outlet mereka untuk turut serta memperkenalkan nilai-nilai tersebut,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan Pek Kembali ke Sekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Bandaraya di sini, hari ini.

Menurut Dr Maszlee, kempen itu adalah antara usaha kementeriannya menjadikan rakyat Malaysia sebagai rakyat yang mempunyai nilai moral yang tinggi menjelang Malaysia menjadi negara maju.

“Kita harap pihak McDonald’s juga menyahut seruan ini. Kita akan sediakan perpustakaan untuk menggalakkan rakyat Malaysia membaca.

“Di pihak kementerian pula, kita akan cuba menyalurkan bahan-bahan penerbitan untuk diberikan kepada McDonald’s di outlet masing-masing,” ujar beliau.

Katanya, dekad membaca itu akan diadakan di semua peringkat peserta dengan kempen nilai murni. – MalaysiaGazette