Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad (kanan) menunjukkan buku Dasar Industri 4.0 Nasional sambil diiringi Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Darell Leiking (dua kiri) pada Pelancaran Dasar Industri 4.0 Nasional di Menara MITI, Jalan Duta, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 31 OKTOBER 2018

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, tiada insentif atau subsidi akan diberikan kepada usahawan mahu pun syarikat yang melakukan transformasi sejajar dengan pelaksanaan Dasar Kebangsaan Industri 4.0 (Industry4WRD).

Bercakap kepada media selepas melancarkan Industry4WRD di sini, beliau berkata, kerajaan telah menyediakan persekitaran kondusif termasuk dasar terbaik untuk diikuti rakyat.

“Mengapa semua orang tanya mengenai insentif?

“Kami memberi anda peluang untuk membuat lebih banyak wang, itulah insentif.

“Saya tidak tahu mengapa semua orang mahu insentif? Mentaliti sebegini adalah salah,” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, perdana menteri menegaskan bahawa Malaysia bakal menjadi salah sebuah destinasi utama bagi industri berteknologi tinggi serta berada di ranking 30 teratas dalam Indeks Inovasi Global menjelang tahun 2025.

Katanya, Industry4WRD akan menjadi halatuju strategik kepada negara kerana teknologi-teknologi tersebut boleh digunapakai pada semua perkara.

Pengilangan Pintar, katanya, akan membawa kepada perkembangan Bandar Pintar, Grid Pintar, Perkhidmatan Pintar dan sebagainya.

“Adalah penting bagi Malaysia untuk memiliki dasar sendiri untuk berdepan dengan Revolusi Industri Keempat dan pengenalan Industry4WRD menandakan bermulanya Revolusi Industri yang lebih meluas di Malaysia.

“Dengan adanya dasar ini, kerajaan mensasarkan untuk menjadikan Malaysia sebagai salah sebuah destinasi utama bagi industri berteknologi tinggi dan berada di rangking 30 teratas dalam Indeks Inovasi Global.

“Melalui Dasar Industry4WRD, kerajaan akan bertindak sebagai penggerak bagi meningkatkan ekosistem Industri 4.0,” katanya.

MGF31102018_DASAR INDUSTRI 4.0 NASIONAL_08
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad (dua kanan) bersama Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Darell Leiking (tiga kiri) dan Presiden Persekutuan Pengilang Malaysia (FFM), Datuk Soh Thian Lai (kanan) melakukan gimik pelancaran sambil diiringi Timbalan Menteri, Ong Kian Ming (dua kiri) dan Ketua Setiausaha MITI, Datuk Isham Ishak (kiri) pada Pelancaran Dasar Industri 4.0 Nasional di Menara MITI, Jalan Duta, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 31 OKTOBER 2018

Menurut Dr. Mahathir, pihak industri perlu meningkatkan usaha dan mempercepatkan penggunaan teknologi melalui dasar baharu itu.

Jelasnya, proses pengilangan global telah berubah secara pantas dengan kewujudan teknologi maklumat manakala model-model perniagaan dalam sektor pengilangan pula mendapat manfaat daripada data, jentera dan sistem yang saling berhubung di antara satu sama lain melalui rangkaian nilai bermula dari bahagian pengeluaran sehinggalah ke bahagian pengedaran akhir.

“Syarikat-syarikat pengilangan tidak lagi mampu memperolehi keuntungan yang sama seperti beberapa dekad sebelum ini sekiranya mereka masih bergantung kepada modal dan buruh untuk meningkatkan produktiviti,” katanya lagi.

Industry4WRD adalah dasar negara bagi memberi maklum balas terhadap transformasi digital dalam sektor pengilangan serta sektor perkhidmatan berkaitan dengan memudahcara syarikat-syarikat untuk berhadapan dengan Revolusi Industri 4.0 melalui cara-cara yang lebih sistematik dan komprehensif.-MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan