Persatuan Melayu Negeri Perlis (PEMANIS) menggesa kerajaan Pakatan Harapan supaya tidak tunduk terhadap tekanan parti-parti politik supaya meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

KANGAR – Persatuan Melayu Negeri Perlis (PEMANIS) menggesa kerajaan Pakatan Harapan supaya tidak tunduk terhadap tekanan parti-parti politik supaya meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Yang Dipertuanya Datuk Mohd Zain Hamzah berkata kerajaan perlu menghayati pandangan bekas Ketua Hakim Negara Tun Abdul Hamid Mohamad bahawa langkah mengesahkan ICERD akan mengakibatkan kehilangan hak-hak istimewa orang Melayu serta anak-anak negeri Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata kerajaan harus berterus terang dalam isu itu dan tidak wajar membelakangkan Perlembagaan Negara selain peka dengan tuntutan badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang menolak ICERD.

“Kerajaan patut memahami kesan pengesahan ICERD terhadap hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera lain di negara ini dan bangsa lain tidak perlu gusar akan berlaku diskriminasi kaum kerana mereka telah lama menguasai ekonomi,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Mohd Zain berkata PEMANIS bimbang jika kerajaan meratifikasi ICERD, nasib bangsa Melayu di negara ini akan semakin teruk.

“Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad harus peka mengendalikan isu ini dan jika perlu wajar menggunakan kuasanya untuk menolak ICERD,” katanya.

— BERNAMA