Kadar cukai GST 6% digantikan dengan cukai SST sebanyak 10% semasa tinjauan lensa Malaysia Gazette di salah sebuah pusat membeli belah sekitar Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 18 JULAI 2018.

KUALA LUMPUR – Kerajaan kehilangan hasil sebanyak RM21 bilion apabila membatalkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Bagaimanapun, pengurangan itu akan ditampung oleh hasil tambahan sebanyak RM14.5 juta daripada kutipan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), dividen dan pendapatan berkaitan minyak sejajar dengan harga minyak mentah yang lebih tinggi.

Kerajaan juga telah mengenal pasti penjimatan perbelanjaan bersih sebanyak RM6.3 bilion bagi mengimbangi hasil yang berkurangan.

Berikutan itu, kerajaan telah dapat mengekalkan sasaran defisit fiskal seperti yang diumumkan pada Bajet 2018, menurut Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan.

Katanya, selaras dengan prinsip ketelusan dan akauntabiliti, kerajaan telah mengambil kira tambahan bayaran balik cukai sejumlah RM4 bilion, komitmen off-budget dan keperluan perbelanjaan tambahan.

Peruntukan tambahan sekitar RM16 bilion termasuk bayaran bantuan kewangan khas kepada penjawat awam (RM2.7 bilion), pengambilalihan Lebuhraya Penyurauan Trafik Timur (RM1.3 trilion), projek transit aliran ringan laluan 3 (LRT3) dan Projek Landasan Berkembar Elektrik (EDTP) (RM2.4 bilion), peruntukan infrastruktur pembentungan, pembaikan dan penyelenggaraan (RM9.5 bilion).

Kerajaan juga dijangka menerima hasil tambahan RM7 bilion daripada dividen Petronas -memberikan implikasi fiskal bersih sekitar RM13 bilion.

Sehubungan itu, defisit fiskal sebagai peratusan kepada KDNK disemak semula daripada 2.8 peratus kepada 3.7 peratus pada tahun 2018.

Baki primer (kedudukan fiskal yang mengambil kira inisiatif dasar fiskal tahun semasa) dianggar mencatat defisit sebanyak RM22.4 bilion daripada KDNK.

Bayaran khidmat hutang yang disebabkan oleh dasar fiskal dahulu tidak diambil kira kerana ia ditentukan oleh saiz defisit tahun sebelumnya. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan