Kelihatan seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) menaiki kerusi roda ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette sempena Bajet 2019 di sekitar Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 01 NOVEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Kerajaan memperkenal Skim Perlindungan Kesihatan (PEKA) dengan projek perintis pelaksanaan saringan kesihatan bagi golongan B40 berumur 50 tahun ke atas melibatkan 800,000 orang.

Peruntukan sebanyak RM100 juta disediakan bagi skim berkenaan, kata Menteri Kewangan.

Katanya, program saringan percuma pengesanan kanser payudara (mamogram), program vaksinasi HPV dan ujian saringan Pap Smear di hospital dan klinik Kerajaan dengan
peruntukan sebanyak RM20 juta yang akan memanfaatkan seramai 70,000 wanita.

Kerajaan juga menyediakan peruntukan sebanyak RM50 juta bagi rawatan penyakit jarang jumpa (rare disease), rawatan virus Hepatitis C, program menangani masalah pertumbuhan bantut di kalangan kanak-kanak, menyediakan saringan dan peluasan rawatan haemodialisis serta Enhanced Primary Healthcare (EnPHC).

Kerajaan akan memperluas program usahasama awam-swasta yang mana Kerajaan menyediakan kemudahan infrastrukur kesihatan manakala pihak swasta membantu menambah dana untuk melaksanakan program kesejahteraan rakyat.

Contoh kerjasama ini termasuk Pusat Katarak Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan di Selayang, katanya. – Malaysiagazette

Tinggalkan Jawapan