Himpunan Bantah ICERD
Pembangkang bakal menganjurkan Himpunan Bantah ICERD di Masjid Jamek, Kuala Lumpur, Ahad ini.

KUALA LUMPURĀ – Kemarahan umat Islam dan Melayu sukar dibendung malah kali ini demostrasi besar-besaran bakal dilakukan sekali lagi bagi membantah ratifikasi Konvensyen Antarabangsa mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) di sini, hujung minggu.

Pengerusi Empirical Malaysia, Anina Saadudin melalui akaun Facebooknya pagi ini berkata, Himpunan Bantah ICERD itu bakal disertai parti politik pembangkang Melayu dan Islam di Masjid Jamek, di sini, 12 tengahari, Ahad ini.

“Ahad ini, 4 November 2018, kita akan ada satu perhimpunan untuk menentang ICERD di Masjid Jamek, Kuala Lumpur jam 12.00 tengahari. Tema pakaian putih.

“Ajak semua turun selagi ada kalimah, selagi ada syahadah, turun. Ini bukan soal politik. Ini tentang orang Islam di Tanah Melayu.

“Pastikan kita turun supaya kita tak perlu menyesal di kemudian hari. Jumpa di sana. Insya-Allah,” katanya yang dimuat naik di laman sosial Facebook, hari ini.

Antara parti politik pembangkang yang bakal menyertai Himpunan Bantah ICERD Ahad ini ialah Parti Islam SeMalaysia (Pas), UMNO, Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) dan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan).

Rabu lalu, Gabungan NGO-NGO Ummah menganjurkan perhimpunan membantah ICERD di luar pekarangan Parlimen mendesak kerajaan tidak menandatangani konvensyen didakwa menghina Perlembagaan Persekutuan.

Himpunan yang diketuai oleh Pengerusi Gerakan Pembela UMMAH, Aminuddin Yahya turut menyerahkan memorandum kepada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri bagi Hal Ehwal Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial, Dr Md Farid Md Rafik bagi menolak usaha Kerajaan PH meratifikasikan ICERD.

Kumpulan pembela Islam dan Melayu itu turut menuntut Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad agar membuka pintu rundingan kepada NGO-NGO Islam dan Melayu itu serta pihak berkepentingan sebelum meratifikasikan ICERD. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan