Presiden UMNO merangkap Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika hadir pada pembentangan Belanjawan 2019 di Dewan Rakyat, Parlimen, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 02 NOVEMBER 2018
Presiden UMNO merangkap Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika hadir pada pembentangan Belanjawan 2019 di Dewan Rakyat, Parlimen, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 02 NOVEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Gabungan pembangkang hari ini menolak pembentangan Belanjawan 2019 oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Menurut Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, tidak ada langsung kelainan yang dibawa oleh Pakatan Harapan (PH) dalam pembentangan belanjawan kali ini.

Ujarnya, walaupun Guan Eng ada mengemukakan beberapa cadangan namun pembangkang mendapati tiada kejutan besar yang dinanti-nantikan rakyat yang memilih mereka pada PRU-14 lalu.

“Tidak ada sebarang kejutan apatah lagi ‘keajaiban’ serta inisiatif kepada rakyat malah tidak ada pun peruntukan khususnya untuk petani dan nelayan dan juga pekebun kecil apabila harga komoditi ini jatuh.

“Kita lihat bahawa banyak projek besar telah dikurangkan kosnya tetapi sebenarnya skop yang telah dikurangkan,” katanya yang juga Presiden UMNO ketika ditemui media selepas mendengar pembentangan Belanjawan hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, bajet yang dibentangkan hari ini bukan bertujuan untuk proses penjimatan tetapi lebih kepada menjual aset kerajaan.

“Ianya bukan satu penjimatan begitu juga bagi meningkatkan hasil kerajaan, mereka bercadang untuk menjual aset negara dan ini satu tindakan terkebelakang.

“Kita lihat bahawa wang yang datang daripada luar negara yang sebenarnya ditempatkan di Labuan semata-mata untuk membeli aset ini dan apabila harga saham terlalu rendah maka individu tertentu cuba mengambil aset-aset berkenaan.

“Ini akan mengurangkan pegangan kerajaan dalam GLC. Pada keseluruhannya parti pembangkang menolak belanjawan yang dikemukakan oleh Menteri Kewangan ini,” katanya lagi. -MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan