KOTA KINABALU – Pengerusi PKR Sabah Datuk Christina Liew berharap pemilihan parti itu di di negeri ini hujung minggu ini akan berjalan dengan lancar.

“Hanya tunaikan tugas anda sebagai anggota parti dengan mengundi dan kemudian pulang saja ke rumah. Tak perlulah teruja sangat mengenainya,” kata beliau kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) berkaitan Festival Filem Aksi Sabah-Hong Kong di sini hari ini.

Liew, yang akan mempertahankan jawatan ketua cabang PKR Kota Kinabalu, berkata PKR negeri telah memohon bantuan daripada polis dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) sebagai langkah memastikan keadaan keselamatan sentiasa terkawal semasa pemilihan.

Pemilihan parti itu di beberapa cabang di Semenanjung dicemari pergaduhan, perbalahan sengit dan cubaan menipu serta dakwaan berlaku politik wang atau perbuatan membeli undi.

Liew, yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah, berkata beliau akan mengundi di SM Kian Kok, di sini, yang ditetapkan sebagai pusat mengundi bagi PKR Cabang Kota Kinabalu dan dijangka tiba di situ pada kira-kira 7 pagi esok.- BERNAMA