Datuk Seri Najib Tun Razak
Najib Razak

KUALA LUMPUR – Di sebalik ucapan Hari Deepavali tahun ini, bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak melahirkan kekesalannya susulan Pelan Tindakan Masyarakat India Malaysia masih tidak diteruskan dalam pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

Najib berkata, pelan itu hanya dapat diteruskan di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) yang memastikan masyarakat minoriti di negara ini tidak ketinggalan daripada sebarang pembangunan.

“Dalam kemeriahan meraikan Hari Deepavali, saya berasa sedikit terkilan kerana Pelan Tindakan Masyarakat India Malaysia yang saya melancarkan semasa memegang jawatan dahulu, tidak dapat direalisasikan.

“Ini termasuk pemberian dana perniagaan khas, penambahan tempat tambahan dalam institusi pendidikan dan perkhidmatan awam.

“Saya yakin jika diteruskan di bawah Kerajaan BN, segala apa yang kita rancangkan akan terlaksana dan masyarakat India di Malaysia tidak lagi ketinggalan malah bertambah makmur dan sejahtera,” katanya dalam posting terbaharu di laman sosial Facebooknya hari ini.

Datuk Seri Najib Tun Razak
Ucapan bekas Perdana Menteri , Datuk Seri Najib Tun Razak sempena Hari Deepavali yang dimuatnaik di laman sosial Facebooknya, hari ini.

Ahli Parlimen Pekan itu juga berkata, masyarakat India sentiasa dalam perhatiannya meskipun beliau bukan lagi pemimpin kerajaan hari ini.

“Masyarakat India sentiasa dekat di hati saya. Doa saya agar anda semua terus maju mengorak langkah dalam arus pembangunan negara.

“Selamat menyambut Hari Deepavali daripada saya sekeluarga kepada semua rakyat Malaysia yang beragama Hindu.

“Semoga perayaan ini membawa sinar cahaya kegembiraan dan kebahagiaan kepada semua. Deepavali Vaalthukkal,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan