Seorang wanita berhadapan detik cemas apabila diacukan parang oleh dua lelaki dalam kejadian samun di sebuah stesen minyak di Jalan Pintasan Kuantan di sini, awal pagi tadi.
Seorang wanita berhadapan detik cemas apabila diacukan parang oleh dua lelaki dalam kejadian samun di sebuah stesen minyak di Jalan Pintasan Kuantan di sini, awal pagi tadi.

KUANTAN – Seorang wanita berhadapan detik cemas apabila diacukan parang oleh dua lelaki dalam kejadian samun di sebuah stesen minyak di Jalan Pintasan Kuantan di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Mohamad Noor Yusof Ali berkata mangsa yang berusia 21 tahun mendakwa kejadian pada 1.20 pagi itu berlaku sebaik sahaja dia memasuki kereta selepas selesai mengisi minyak.

Kejadian menyebabkan mangsa yang bekerja di Gebeng di sini, yang dalam perjalanan pulang ke rumah di Balok selepas berjumpa rakan di Indera Mahkota, kerugian RM2,500.

“Mangsa mendakwa sebuah kereta Perodua Viva berwarna putih secara tiba-tiba berhenti berhampiran keretanya semasa dia baru masuk ke dalam kereta selepas mengisi minyak.

“Penumpang kereta itu keluar dan mengacukan parang sepanjang satu kaki ke arahnya sebelum mengambil telefon pintar iPhone 8 Plus yang berada di kerusi penumpang hadapan,” katanya semasa dihubungi di sini, hari ini.

Mohamad Noor menambah rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di stesen minyak itu mendapati suspek yang bertubuh tegap memakai jaket hitam sehingga menutupi kepala selain menggunakan topeng mulut untuk melindungi identitinya serta bersarung tangan manakala rakan subahatnya menunggu di dalam kereta.

“Siasatan mendapati suspek telah berada di simpang masuk stesen minyak itu dipercayai untuk memerhati pelanggan yang datang sebelum meluru ke arah mangsa sebaik sahaja dia memasuki kereta,” katanya.

Mohamad Noor menambah pihaknya kini giat mengesan kedua-dua suspek dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu samun berkumpulan bersenjata yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Beliau juga menasihatkan orang ramai untuk berhati-hati semasa mengisi minyak dan mengelakkan untuk berbuat demikian pada lewat malam dan awal pagi.

— BERNAMA

Tinggalkan Jawapan