Dr Maszlee Malik
Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik

KUALA LUMPUR – Kabinet hari ini telah meluluskan pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971.

Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik berkata, pembentangan rang undang-undang berkenaan itu akan dilakukan pada persidangan parlimen tidak lama lagi.

Pindaan itu turut melibatkan Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 (Akta 555) dan Akta Institusi-Institusi Pelajaran (Tatatertib) 1976 (Akta 174).

“Langkah ini selari dengan transformasi politik yang dibawa kerajaan dalam mengukuhkan institusi demokrasi terutamanya dalam memberi lebih ruang kepada pelajar universiti untuk bersuara dan terlibat dengan aktiviti politik kampus selain menghasilkan graduan yang seimbang dan berupaya dalam menyuarakan pendapat dan isu semasa,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Maszlee, beberapa peruntukan dalam AUKU yang diguna pakai sekarang perlu disesuaikan dengan pelan transformasi kerajaan baharu.

“Keadaan ini memerlukan AUKU dilihat semula bagi memastikan bahawa semangat dan kehendak transformasi tersebut diterjemah berdasarkan keluhuran undang-undang,” katanya.

Pembentangan RUU pindaan itu merupakan langkah awal dalam mentransformasi pendidikan tinggi agar seiring dengan kemajuan teknologi dan informasi selain hasrat kementerian menyasarkan satu akta baharu pendidikan tinggi digubal bagi menggantikan AUKU menjelang tahun 2020.- MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan