Semua 4.03 juta saman Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) yang belum dibayar sejak 2012 sehingga 31 Ogos lalu telah dibatalkan, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.
Semua 4.03 juta saman Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) yang belum dibayar sejak 2012 sehingga 31 Ogos lalu telah dibatalkan, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

CYBERJAYA — Semua 4.03 juta saman Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) yang belum dibayar sejak 2012 sehingga 31 Ogos lalu telah dibatalkan, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

Beliau berkata berdasarkan Pusat Data Bahagian Teknologi Digital, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), bayaran saman AES bagi kesalahan had laju dan langgar lampu isyarat yang dikeluarkan sebelum 1 Sept lalu adalah berjumlah RM605 juta.

“Saya telah mendapat kepastian daripada pihak pengurusan pusat data ini bahawa semua saman telah diputihkan daripada sistem. Ini bermaksud apa-apa saman AES sebelum 1 Sept lalu sudah tiada lagi dalam data,” katanya dalam sidang media selepas melawat Pusat Data Bahagian Teknologi Digital JPJ, di sini hari ini.

Dalam pada itu, katanya, sebanyak 60,444 saman AES atas kesalahan melanggar had laju telah dikeluarkan sejak 1 Sept lepas sehingga 8 Nov lalu namun hanya 1,711 saman yang dijelaskan.

Bagi tempoh yang sama untuk kesalahan melanggar lampu isyarat pula, beliau berkata sebanyak 4,575 saman AES telah dikeluarkan namun hanya 167 saman telah dibayar.

Menurutnya, sebanyak 1,190 kes saman AES telah dibawa ke mahkamah di Kedah, Perak dan Pulau Pinang sejak 1 Sept lalu namun tiga individu sahaja hadir ke mahkamah.

Beliau berkata waran tangkap akan dikeluarkan terhadap individu yang gagal hadir di mahkamah dan akan disenarai hitam daripada memperbaharui lesen memandu dan cukai jalan sehingga saman AES dijelaskan.

Loke berkata JPJ akan mengambil tindakan tegas terhadap individu yang ingkar untuk membayar saman AES dalam tempoh 60 hari termasuk dihadapkan ke mahkamah.

Dalam perkembangan lain, Loke berkata kementerian bersetuju mengecualikan bayaran sebanyak RM10 untuk setiap permohonan maklumat sesebuah kenderaan berdaftar susulan langkah membenarkan beberapa set data JPJ diklasifikasikan sebagai data terbuka.

Beliau berkata pengecualian bayaran fi berkenaan untuk terbitan data di portal data.gov.my sahaja.

“Walaupun keputusan ini seolah-olah merugikan kerajaan kerana kutipan hasil akan dilepaskan, namun ia sebenarnya menguntungkan semua kerana kebolehcapaian (akses) maklumat kepada orang awam dan industri secara terbuka dan efisien,” katanya.

Sebelum ini, katanya, melalui bayaran permohonan berkenaan, kerajaan mengumpul hasil sebanyak RM4 juta dalam tempoh 2007 sehinga 2017 dan RM1.93 juta untuk setakat tahun ini.

Loke berkata sehingga kini, Kementerian Pengangkutan beserta kesemua agensi di bawahnya telah menyumbangkan sebanyak 334 set data yang berkaitan dengan bidang pengangkutan di Malaysia.

“Sasaran kementerian adalah untuk menyumbang sebanyak 400 set data pada tahun ini,” katanya.

Menurutnya, syarikat swasta dan orang awam boleh mengakses data terbuka untuk sektor udara, maritim, darat pengangkutan dan rel di portal di laman web rasmi kementerian www.mot.gov.my dan juga data.gov.my

— BERNAMA