Tinjauan lensa Malaysia Gazette berkenaan cukai SST pusat beli-belah di Bandar Sunway, Petaling Jaya, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 01 SEPTEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 92,682 perniagaan didaftarkan di bawah Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) bagi tempoh sehingga 23 Oktober lalu.

Daripada bilangan tersebut, 57,298 adalah berdaftar di bawah cukai perkhidmatan manakala 35,384 lagi cukai jualan, kata Menteri Kewangan.

Beliau menjawab pertanyaan Datuk Takiyuddin Hassan (Pas-Kota Bharu) yang bertanyakan jumlah pendaftaran syarikat di bawah SST sehingga September lalu.

Lim Guan Eng berkata, mana-mana peniaga yang telah menepati syarat untuk berdaftar perlu berdaftar di bawah cukai jualan berdasarkan Seksyen 12, Akta Cukai Jualan 2018 dan cukai perkhidmatan berdasarkan Seksyen 12, Akta Cukai Perkhidmatan 2018.

Jelasnya, peniaga yang gagal berdaftar di bawah SST melakukan kesalahan dan boleh didenda tidak melebihi RM30,000 atau pemiliknya boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Bagi peniaga yang mengelak dari membayar cukai pula boleh dikenakan kompaun sebanyak tidak melebihi 50 peratus daripada amaun denda maksimum yang orang itu boleh dikenakan jika disabitkan kesalahan.

Ketetapan ini adalah berdasarkan Seksyen 95, Akta Cukai Jualan 2018 dan Seksyen 80, Akta Cukai Perkhidmatan 2018, katanya. – MalaysiaGazette