PUTRAJAYA – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak boleh menyindir apa sahaja mengenai pelaksanaan skim bantuan baucar buku bagi penuntut institut pengajian tinggi (IPT) yang bakal diteruskan.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, isu pelaksanaan semula skim itu tidak seharusnya dipolitikkan oleh mana-mana ahli politik kerana ia melibatkan kepentingan pelajar-pelajar di negara ini.

“Yang penting adalah kepentingan pelajar, kita tidak mahu politikkan benda ini. Bagi pihak kementerian kita meletakkan kebajikan pelajar lebih utama.

“Kita ketepikan politik dan apa orang nak cakap, cakaplah,” katanya dalam sidang media di Dialog Industri Kebangsaan 2018 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.

MGF15112018_MASZLEE DIALOG INDUSTRI12
Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik dalam sidang media selepas Majlis Perasmian Dialog Industri Kebangsaan 2018 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 15 NOVEMBER 2018.

Najib semalam menyindir Maszlee dengar berkata beliau tercungap-cungap kembali ke Dewan Rakyat untuk melaksanakan semula skim berkenaan.

“Saya guna Facebook bersuara sedikit sahaja Maszlee dah tercungap-cungap berlari ke Kabinet minta kembalikan Baucar Buku.

“Belum lagi mahasiswa-mahasiswi kita mogok lapar, guling-guling atas jalan raya.

“Pengsan Maszlee nanti. Kita tuntut!,” kata Najib di Twitter beliau.

Maszlee mahu baucar buku diteruskan

Skim bantuan baucar buku bagi penuntut IPT dilaksanakan di zaman pemerintahan Najib dengan nama Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) yang bernilai RM250.

Ia bertujuan membantu mengurangkan beban kewangan penuntut IPT.

Maszlee berkata perkara itu dibawa dalam mesyuarat Kabinet yang berlangsung semalam iaitu mesyuarat pertama selepas Belanjawan 2019 dibentangkan pada 2 November lalu.

Malah katanya, perkara itu dipersetujui serta mendapat sokongan daripada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. -MalaysiaGazette