najib razak
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersama isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor berjalan keluar selepas selesai mendengar beberapa pertuduhan berhubung siasatan kes SRC International Sdn Bhd dan pertuduhan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti HAram (AMLATFPUAA) 2001 di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 04 OKTOBER 2018

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata niat dan hasrat untuk membantu anak bangsa di Sarawak disalahertikan dan diputarbelitkan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Menurut beliau, pihaknya yakin pihak pendakwaan tidak mempunyai merit untuk mengheret beliau dan keluarganya ke muka pengadilan.

“Kerapkali, niat dan hasrat yang baik daripada saya dan keluarga ini diputarbelit dan digunakan untuk memburukkan kami melalui pendakwaan yang kami yakin tiada merit.

“Kami sangat memahami ia adalah di bawah kuasa kerajaan PH untuk menggunakan pihak berkuasa dan dalam hak mutlak mereka untuk mendakwa kami mengikut kehendak mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ini adalah kenyataan pertama Najib selepas dihadapkan ke Mahkamah Seksyen Kuala Lumpur berkaitan siasatan kes penyelewengan pemasangan panel tenaga solar sekolah di Sarawak.

Malah isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor turut berdepan tuduhan sama kerana atas pertuduhan meminta rasuah melalui Datuk Rizal Mansor sejumlah RM187.5 juta daripada Saidi Abang Samsudin sebagai dorongan untuk membantu syarikat itu mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic dan penyelenggaraan Genset atau diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak.

Saidi Abang adalah merupakan Pengarah Urusan Jepak Holdings.

Projek itu mencetuskan kontroversi apabila kontrak yang didakwa bernilai RM1.25 bilion dianugerahkan kepada sebuah syarikat yang beroperasi di Bintulu atas arahan Najib.

Dalam pada itu, Najib berkata, sekiranya siap, projek solar itu akan membawa penjimatan besar bagi kerajaan di masa akan datang.

“Syarikat yang dianugerahkan projek solar adalah sebuah syarikat pengangkutan di mana hakikatnya adalah ia adalah salah satu daripada 31 syarikat yang membekalkan diesel dan menyelenggara penjana kuasa bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

“Kejayaan menyiapkan projek itu bagi mengubah kepada solar bermakna penjimatan yang besar bagi kerajaan dan bekalan elektrik yang lebih bersih dan boleh diyakini bagi sekolah-sekolah berkenaan,” jelas Najib. -MalaysiaGazette