Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri SA Vigneswaran bercakap ketika sesi sidang media di Bangunan Parlimen Malaysia, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 19 NOVEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran kesal dan mempersoalkan motif Menteri Pengangkutan, Anthony Loke yang didakwanya sengaja mencalar imej serta nama baik keluarganya.

Menurut Yang DiPertua Dewan Negara itu,  tindakan menyiarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang juga mendedahkan anak-anak dan isterinya sehingga menjadi bahan kecaman ‘tidak senonoh’ oleh pengguna media sosial amat dikesali.

Justeru Vigneswaran akan membuat laporan polis terhadap Anthony kerana melanggar Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 kerana mendedahkan rakaman sekaligus ‘mengheret’ keluarganya dalam isu terbabit.

“Atas kapasiti apa Anthony bertindak melulu dengan menyiarkan rakaman CCTV itu? Dalam rakaman itu ada anak dan isteri saya. Rakaman itu juga telah diberi akses kepada semua termasuk media sehingga ia telah dimuat naik di mana-mana.

“Bayangkan, pelbagai komen negatif dan berbaur kata-kata kesat dilontarkan selepas para netizen melihat rakaman tersebut. Apa yang lebih menyedihkan, hanya sebahagian sahaja ‘cerita’ serta maklumat telah diberikan kepada umum.

“Anak-anak dan isteri saya mengalami trauma kerana dimaki dengan kata-kata kesat. Apakah perasaan saya, anda tidak hormati saya atau kedudukan saya. Itu tidak apa lagi, tapi apa yang telah kamu lakukan kepada anak-anak saya? Isteri saya?

“Jika kamu ada anak perempuan dan diperlakukan sebegitu rupa, apakah perasaan kamu sebenarnya? Atas niat apa kamu lakukan semua ini?” soalnya.

Beliau juga sudah membuat keputusan untuk mengambil tindakan undang-undang atas Anthony kerana saya mahu melindungi anak-anaknya.

Vigneswaran menambah, sejurus selepas memalukan beliau tanpa langsung cuba mendapatkan penjelasannya, Anthony juga menggunakan media selain daripada menyalahgunakan kuasa menteri untuk mendedahkan rakaman terbabit.

“Selepas semua ini, barulah beliau meminta pihak polis untuk menyiasat insiden ini. Bukankah sepatutnya beliau membiarkan dulu pihak berwajib lakukan siasatan adil. Mengapa ‘terkinja-kinja’ lakukan sidang media dan juga sebarkan rakaman CCTV?

“Peliknya, rakaman itu juga ada beberapa versi. Entah yang mana satu betul tapi yang pasti semua ahli keluarga saya ada dalam rakaman itu yang akhirnya menjadi bahan kecaman netizen. Sebenarnya apa yang cuba dibuktikan oleh anda?

“Ingat juga beliau telah langgar Akta Perlindungan Maklumat sebenarnya. Mula-mula beliau menuduh saya menceroboh, lupakah syarikat MAHB adalah syarikat swasta? Anda patut dapat hak sebelum buat pendedahan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Vigneswaran bertegas tidak akan sesekali memohon maaf kerana tidak ada keperluan untuk melakukan sedemikian.

“Pada siapa yang saya perlu minta maaf? Pada tuhan? Adakah sistem baharu oleh kerajaan PH kini boleh buat sesuka hati, tidak perlu siasatan, tidak perlu mahkamah terus sahaja buat kesimpulan seseorang itu bersalah hanya kerana kami pembangkang,” tegasnya. – MalaysiaGazette