Filem Polis Evo 2 akan ditayangkan bermula 22 November ini.

KUALA LUMPUR – Filem Polis Evo 2 terbitan Astro Shaw Sdn. Bhd. dan SCM Tbk tidak mengandungi mesej penghinaan kepada Islam.

Pencerahan itu diberikan Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri selepas beliau menonton filem itu secara keseluruhan.

Menurutnya, filem tersebut hanya mengetengahkan fahaman fanatik sesat yang memberi ancaman kepada negara.

“Filem ini menimbulkan sedikit kegusaran segelintir masyarakat berikutan beberapa watak dan babak yang seolah-olah memburukkan imej Islam dan menyamakan Islam sebagai pengganas.

“Watak antagonis seperti Hafsyam (Hasnul Rahmat) tidaklah menampakkan beliau sebagai seorang pengganas atas nama Islam secara mutlak kerana tidak ada dialog atau babak yang klise dalam menggambarkan teroris atas nama agama seperti bertakbir dan menggunakan apa-apa ayat al-Qur’an atau hadis.

“Watak Hafsyam digambarkan sebagai pemimpin ajaran sesat yang tegar merokok, mengedar dadah, kejam, akhlak bermasalah, tidak ada langsung babak solat dan lain-lain babak yang boleh menguatkan keyakinan kita bahawa beliau adalah benar-benar seorang pengganas atas nama agama,” ujar beliau menerusi kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, beliau mencadangkan supaya pihak produksi melantik pakar agama sebelum menghasilkan sebuah filem bertemakan Islam.

Langkah tersebut katanya, bagi mengelakkan sebarang isu sensitif melibatkan agama.

“Sebaiknya, rujukan kepada konsultan Syariah dilakukan sejak dari awal pembikinan skrip sehinggalah selesai penggambaran keseluruhan filem.

“Kami juga mencadangkan kepada produksi agar meletakkan penjelasan pada awal filem atau pada addendum berkenaan kesamaran dalam jalan cerita (mungkin sengaja diletakkan pada subteks) yang mungkin terdedah kepada salah faham terhadap agama,” tambah beliau.

Sebelum ini, filem berkenaan menerima pelbagai reaksi termasuk beberapa parti politik sejak dimuat naik pada 30 Oktober lepas di Facebook dan YouTube.

Terdapat pihak yang berpendapat filem tersebut memberi gambaran buruk kepada imej Islam sebagai pengganas.

Filem Polis Evo 2 memaparkan kisah dua orang pegawai polis yang mengintip pergerakan ketua sindiket pengedar dadah di sebuah pulau.

Dalam operasi tersebut mereka terperangkap dengan insiden serangan kumpulan pengganas yang menawan dan menjadikan penduduk-penduduk pulau tersebut sebagai tebusan.

Secara keseluruhan, filem tersebut mengisahkan tentang usaha pihak polis untuk membanteras kegiatan jenayah dan menyelamatkan orang awam yang terlibat dalam insiden keganasan yang dipaparkan. – MalaysiaGazette