Petisyen membantah ICERD akan diteruskan sehingga kerajaan akur kehendak rakyat.
Petisyen membantah ICERD akan diteruskan sehingga kerajaan akur kehendak rakyat.

KUALA LUMPUR – Petisyen membantah Ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) hari ini berjaya mencapai 194,121 tandatangan daripada sasaran baharu 200,000 tandatangan.

Angka yang direkodkan itu adalah setakat pukul 5.55 petang.

Berbanding awal pelancaran petisyen itu pelbagai pihak dari pelosok negara memberi sambutan luar biasa.

Ia merupakan tentangan yang ditunjukkan terhadap cadangan kerajaan kepimpinan Pakatan Harapan yang mahu meratifikasikan ICERD.

Terdahulu penyedia petisyen itu Lukman Sheriff mensasarkan pada awalnya 150,000 tandatangan sahaja untuk dicapai menjelang akhir November ini.

Bagaimanapun sambutan besar kepada petisyen itu menyaksikan sasaran itu telah dipintas dan kini ditambah kepada 200,000 tandatangan untuk dicapai dan ia tidak mustahil apabila hanya 5,879 undi lagi diperlukan untuk mencapai sasaran itu.

ICERD adalah salah satu konvensyen antarabangsa Hak Asasi manusia yang telah berkuatkuasa dari tahun 1969. Malaysia dn Korea antara negara yang tidak pernah menandatanganinya apalagi meratifikasinya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy baru-baru ini mengumumkan komitmen kerajaan untuk mengesahkan enam triti hak asasi manusia termasuk ICERD pada suku pertama tahun depan.

Menurut Lukman, apabila bilangan tandatangan yang secukupnya diperoleh, beliau akan membawa petisyen itu kepada Majlis Raja-Raja, jika mendapat perkenan daripada pihak berkuasa berkenaan.

Lukman juga menjelaskan bahawa petisyen itu mendapat sokongan melampaui pegangan partisan yang mana setakat ini UMNO, PPBM dan Pas sudah mengeluarkan naratif senada dengannya tetapi masih mendapat tolakan daripada PAN dan PKR.

Dalam perkembangan terbaharu petisyen terhadap ICERD, Majlis Peguam menerusi Presidennya George Varughese pula mendesak kerajaan meluluskannya tanpa sebarang pengecualian dengan hujah bahawa ICERD tidak melanggar Perlembagaan Persekutuan seperti mana yang dijelaskan dalam perkara 1(4) yang memperuntukkan bahawa langkah langkah istimewa (termasuk tindakan afirmatif) adalah dibenarkan. – MalaysiaGazette