Seorang murid tahun 1 mewarnakan kertas lukisan yang tertera perkataan "First Day Of School' ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette hari pertama persekolahan bagi sesi 2017 di Sekolah Kebangsaan Bukit Damansara, Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 03 JANUARI 2017

KANGAR – Walaupun memegang portfolio pendidikan, Exco Perlis, Rozieana Ahmad bagaimanapun tidak berpeluang melangkah masuk ke dalam mana-mana sekolah.

Statusnya sebagai pembangkang juga menyebabkan Exco negeri itu tidak menerima apa-apa jemputan daripada pihak Kementerian Pendidikan, jabatan pendidikan negeri, malahan sekolah.

Berikutan daripadanya, Rozieana meminta Menteri Pendidikan Maszlee Malik supaya tidak memandang bulu sehingga menyebabkan pendidikan menjadi mangsa keadaan.

“Saya pernah menjadi cikgu dan mempunyai banyak pengalaman. Saya sepatutnya diberi peluang untuk memasuki sekolah dan berinteraksi dengan cikgu.

“Keadaan sebaliknya berlaku apabila saya tidak dapat memainkan peranan yang sepatutnya,” katanya kepada Sinchew Daily.

Walaupun begitu, Rozieana berkata, kerajaan negeri tidak akan mengabaikan pendidikan dan akan mengadakan tuisyen yang cuma mengutip yuran secara nominal selain mengadakan kem pelajar.

Beliau berkata, cadangan-cadangan itu dijangka akan dibentangkan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) selepas mendapat kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Perlis.

Beliau juga mengajak Pakatan Harapan untuk bersama-sama melupakan politik sejenak untuk membangunkan pendidikan.

“Saya terus mengadakan perhubungan dengan pegawai berkenaan secara peribadi, tetapi masih tidak boleh memasuki sekolah,” katanya.

Maszlee sebelum ini dilaporkan memberitahu bahawa Ahli Parlimen pembangkang yang berhasrat masuk ke sekolah milik kerajaan untuk menghadiri sebarang program perlu mendapatkan kebenaran kementeriannya.

Jelasnya, pekeliling sudah dikeluarkan bahawa permohonan perlu dibuat kepada kementerian melalui pengarah jabatan pendidikan negeri jika wakil rakyat terbabit berhasrat berbuat demikian.

Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad daripada PKR bagaimanapun tidak bersetuju dengan larangan tersebut dan berpendapat kerajaan baharu tidak harus meneruskan amalan kerajaan terdahulu yang bersifat menekan.

Katanya, larangan untuk wakil rakyat pembangkang memasuki sekolah merupakan penyalahgunaan kuasa paling teruk yang pernah dilaksanakan kerajaan Barisan Nasional sebelum ini. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan