Polis mengawal pasar Krismas, dekat Place Kleber selepas kejadian tembakan yang mengorbankan dua mangsa. foto Agensi

STRASBOURG – Sekurang-kurangnya dua maut dan 12 lagi cedera selepas terlibat dalam kejadian tembakan di bandar timur Perancis.

Enam daripada mereka itu dilaporkan mengalami kecederaan serius.

Kejadian itu berlaku semasa pasukan polis sedang memburu seorang lelaki berhubung kejadian rompakan.

Suspek berusia 29 tahun itu bagaimanapun berjaya melarikan diri meskipun cedera akibat terkena tembakan.

Polis kini melancarkan operasi memburunya dan pendakwa raya anti-keganasan telah membuka siasatan terhadap lelaki tersebut.

Saksi-saksi memberitahu, kejadian tembak-menembak itu berlaku berhampiran pasar Krismas, dekat Place Kleber. Ia menjadi lokasi tumpuan orang ramai menjelang Krismas.

Insiden tembak-menembak itu dikatakan berlaku pada jam 10 malam semasa ribuan orang berada di pasar berkenaan.

Seorang saksi berkata, pada awalnya dia mendengar satu, dua tembakan sebelum terdengar tembakan bertalu-talu.

Keadaan itu menyebabkan orang ramai panik dan lari bertempiaran. Situasi kelam=kabut itu berlaku dalam 10 minit.

Menurut laporan media, gerakan mengesan suspek selepas lelaki yang berasal dari bandar ini menyembunyikan diri di flatnya di daerah Neudorf.

Bom tangan turut ditemui semasa gerakan dilakukan. – MalaysiaGazette