Putera Mahkota Mohammed bin Salman ketika mengunjung Donald Trump di Pejabat Oval di White House pada 20 Mac 2018. foto Agensi

WASHINGTON- Presiden Amerika Syarikat mengumumkan sokongannya kepada Putera Mahkota Arab Saudi walaupun pernilaian Agensi Perisikan Pusat (CIA) mendakwa  Mohamed bin Salman terlibat dalam pembunuhan wartawan, Jamal Khashoggi.

Donald Trump bagaimanapun enggan mengulas sama ada Putera Mahkota terlibat dalam pembunuhan tersebut.

“Beliau adalah pemimpin Arab Saudi. Mereka adalah sekutu yang baik,” katanya dalam satu temubual di Pejabat Oval.

Ketika ditanya Reuters sama ada sokongan terhadap Arab Saudi bermakna mempertahankan putera yang turut dikenali sebagai MbS itu, Trump menjawab: “Pada ketika ini, sudah tentu.”

Terdapat beberapa anggota keluarga pemerintah Arab Saudi yang cuba menghalang MbS daripada dilantik sebagai raja, kata sumber-sumber yang rapat dengan keluarga diraja kepada Reuters dan mereka percaya Amerika Syarikat dan Trump boleh menjadi penentu di dalam pertikaian tersebut.

“Saya tidak pernah dengar mengenai perkara tersebut.

“Jujur, saya tidak boleh komen kerana tidak pernah mendengar mengenainya, malah apa yang saya tahu, beliau mempunyai kuasa yang sangat kuat,” katanya lagi.

Trump dikritik hebat oleh rakan-rakannya di dalam Republikan  berhubung isu tersebut terutama selepas Pengarah CIA, Gina Haspel memberi taklimat kepada mereka.

Bulan lepas, selepas CIA membuat pernilaian yang mengatakan MbS telah mengarahkan pembunuhan Khashoggi, Trump pula menganggap laporan tersebut sebagai “sangat pra-matang.”- MalaysiaGazette