Annuar Musa
Annuar Musa

KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) sudah kehabisan idea untuk menyerang pemimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN) dengan menjadikan kehadiran Datuk Seri Najib Tun Razak berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands sebagai isu.

Menurut Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa, bekas Perdana Menteri itu berhak turun berkempen kerana Cameron Highlands yang terletak dapam Pahang adalah negerinya.

“Najib turun berkempen tak perlu jadi isu. Pertamanya, beliau berhak bergerak bebas dan bersuara, apatah lagi di negerinya sendiri.

“Kedua, ramai dalam kalangan rakyat tempatan di situ memintanya turun padang, dan ketiganya, Najib ada banyak certot dan cerpen untuk dibawa ke Cameron Highlands..jadi, tak perlu gelabah,” katanya dalam hantaran menerusi akaun Twitternya hari ini.

Najib turun membantu kempen calon BN bermula hari ini dengan jadual pergerakannya menghadiri program selama tiga hari di Cameron Highlands.

Program pertama beliau ialah makan tengah hari bersama masyarakat di Kampung Raja pada jam 12.30 tengah hari, kemudian solat Zohor di Masjid Kampung Raja, santai mesra di Pos Terisu dan majlis tahlil di Masjid Sultan Ahmad Shah, Tanah Rata.

Esok pula, bekas Presiden UMNO itu dijadual menghadiri program bersama masyarakat di Kampung Orang Asli Sungai Ruil, ramah mesra dengan masyarakat Orang Asli di Pos Telanuk, solat Jumaat di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah di Sungai Koyan, ramah mesra di Dewan Negeri Jelai di Dewan MPKK, Sungai Koyan 3 dan program santai mesra di Dataran Kampung Gahai.

Beliau dijadual mengakhiri kempen BN pada Sabtu dengan program ramah mesra di Kampung Bukit Betong dan ramah mesra di Dewan Orang Ramai Kampung Keledek. – MalaysiaGazette