Dr. Asyraf Wajdi Dusuki
Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – Penularan video ‘majlis tari-menari’ yang turut melibatkan personaliti seperti menteri, Ketua Hakim Negara dan Peguam Negara adalah suatu yang amat memalukan institusi kehakiman serta perundangan negara.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki ketika mengulas perkara berkata, ia tidak sepatutnya berlaku.

Lebih-lebih lagi ia menampilkan watak seperti Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Datuk Liew Vui Keong; Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum; Peguam Negara, Tommy Thomas dan peguam politik yang dilihat pro Pakatan Harapan (PH) seperti Datuk Ambiga dan Siti Kasim.

Menurut beliau, sejak dulu lagi institusi kehakimanan dan perundangan negara amat sensitif dengan apa juga bentuk pergaulan sosial terutama para hakim yang mampu menggugat keyakinan masyarakat terhadap kehormatan, nilai etika, integriti dan adab susila mereka.

“Apatah lagi jika melibatkan Ketua Hakim Negara dan Peguam Negara yang bersosial dengan ahli politik dan individu berprofil tinggi.

“Pastinya boleh mengundang kontroversi dan menghakis kepercayaan rakyat terhadap sebarang keputusan yang bakal mereka ambil kelak,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Beliau mengulas sebuah klip video yang tular memaparkan beberapa individu berprofil tinggi dan dihormati undang-undang serta negara sedang menari di atas pentas pada satu majlis makan malam.

Jelas Asyraf Wajdi, tingkah laku mereka juga terkait dengan mantra yang harus mendasari sistem kehakiman dan perundangan negara iaitu ’keadilan bukan hanya perlu dilaksanakan, bahkan mesti dilihat dilaksanakan’.

Justeru, katanya, Pemuda UMNO melahirkan rasa amat kecewa dengan penularan video majlis sosial tersebut yang hakikatnya telah mencalar institusi kehakiman dan sistem keadilan negara terutama institusi Ketua Hakim Negara dan Peguam Negara yang dilihat semakin hilang kredibiliti dan nilai integriti lantaran pencabulan etika dan prinsip konflik kepentingan yang mula dipersoalkan rakyat. – MalaysiaGazette

http://malaysiagazette.com/blog/2019/01/19/bila-peguam-negara-dan-siti-kassim-menari-twist/

1 Komen

  1. Menyanyi Beramai Ramai sebagai tanda Tema Sambutan, ape Salah ke?

    Berdiri Dan Bertepuk tangan beramai ramai sebagai tanda Tema Sambutan, ape Salah ke?

    Tapi jika Ber’Twist’ beramai ramai sebagai Tema Sambutan, ape yg ini Salah?

    Tapi, klu beramai ramai merembat kekayaan Negara, sebagai Tema Berpolitik, tak BERASA MALU SIKIT PUN, Ngape?

Comments are closed.