Abdul Hadi Awang
Abdul Hadi Awang

KUALA LUMPUR – Rakyat yang beriman dan budiman wajib menentang kemungkaran besar cadangan kerajaan Pakatan Harapan (PH) hendak menghapuskan hukuman mati.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, cadangan itu dibuat dalam kalangan bodoh, yang merasakan diri mereka sangat bijak kerana bergurukan barat yang kini sedang merudum keamanannya dan merebaknya jenayah setiap saat sehingga ke sekolah anak-anak yang masih mentah.

Kata beliau, pengaruh barat yang kononnya anti keganasan bertopengkan agenda pembatalan hukuman mati ke atas kesalahan jenayah paling berat berjaya mempengaruhi segelintir rakyat Malaysia.

“Ramai pula merasa bimbang dengan gejala yang sangat bodoh ini, khususnya mantan Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Mohd Noor yang menyatakan kegusarannya.

“Ini menunjukkan kerisauan di kalangan mereka yang paling banyak terlibat menghadapi penjenayah,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Bagaimanapun, menurut Abdul Hadi, mereka yang mendukung teori itu pula merasa sangat bijak kerana berimamkan pemikir barat yang dianggapnya maju ke hadapan, tetapi paling sesat kemanusiaannya sehingga tersungkur ke dalam longkang jenayah, memperjuangkan hak asasi pengganas tanpa perasaan kemanusiaan sebenar terhadap mangsa jenayah dan keluarganya yang sepatutnya diberi simpati.

Jelas beliau, betapa mahalnya nilai nyawa seseorang manusia sehingga membunuh satu nyawa sahaja dengan zalim dianggap membunuh zuriat yang akan lahir daripadanya.

“Begitulah juga sebaliknya, kalau menyelamatkan satu nyawa bermakna menyelamatkan nyawa beberapa generasi selepasnya. Ini menunjukkan betapa bahayanya golongan pelampau ini yang telah mempengaruhi kerajaan negara kita sekarang.

“Islam meletakkan kewajipan memelihara nyawa manusia menjadi rukun hidup yang mendahului makan dan minum. Sehingga dihalalkan makanan dan minuman yang diharamkan apabila keadaan darurat tiada pilihan lain bagi menyambung kehidupan.

“Kita menyaksikan bahawa sifat perikemanusiaan mengizinkan pembedahan mengikut kaedah ilmu perubatan untuk membuang anggota jasad yang boleh merebakkan sakit sehingga mengancam kehidupan, kerana menyelamatkan nyawa lebih diutamakan,” katanya.

Abdul Hadi menjelaskan, mereka yang berteori membatalkan hukuman bunuh itu akalnya salah dan tidak percaya kepada Tuhan serta tidak layak bersifat manusia yang sebenarnya. – MalaysiaGazette