Khalid Samad
Khalid Samad

KUALA LUMPUR – Mulai tahun depan, Kementerian Wilayah Persekutuan akan menggunakan sistem kupon untuk semua penerima sumbangan beg dan baucar untuk peralatan sekolah.

Menterinya, Khalid Samad berkata, ini bagi mengelak berlaku penyelewengan dalam pemberian sumbangan itu kepada murid dan pelajar yang layak.

“Sistem kupon ini akan dimulakan tahun depan. Lepas ini tidak ada lagi sumbangan disampaikan dalam bentuk kasut, baju dan seluar sekolah.

“Sejak sumbangan itu diperkenalkan, kita hanya menerima satu aduan sahaja iaitu berkaitan saiz kasut dan seluar.

“Saya sudah pun mengarahkan CEO Yayasan Wilayah Persekutuan supaya membuat siasatan dan memberikan laporan kepada saya,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Menurut Khalid, tahun ini sahaja yayasan itu telah memberi sumbangan kepada kira-kira 20,000 pelajar di seluruh Wilayah Persekutuan termasuk Putrajaya dan Labuan.

Katanya, dari jumlah itu, seramai 3,250 pelajar mendapat sumbangan dalam bentuk beg dan baucar bernilai RM100 tiap seorang.

“Baki yang lain mendapatnya dalam bentuk beg dan pakaian sekolah,” ujarnya. – MalaysiaGazette