Sultan Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkenan untuk mencium Al-Quran sambil diperhatikan isterinya Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ketika Istiadat Pemasyhuran Sultan Pahang Keenam di Istana Abu Bakar, Pekan Pahang. foto MALAYSIA GAZETTE, 15 JANUARI 2019

KUALA LUMPUR – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-16, hari ini.

Kenyataan rasmi mengenai perlantikan Yang di-Pertuan Agong ke-16 dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong itu dikeluarkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Datuk Seri Syed Danial Syed Ahmad.

Keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Khas Majlis Raja-raja di Istana Negara hari ini.

Sementara itu, Timbalan Yang di-Pertuan Agong kekal milik Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja itu dihadiri lapan Raja-raja Melayu tanpa kehadiran Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V.

Ia dipengerusikan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin yang mengambil tempat di Istana Negara jam 11.15 pagi tadi.

Mesyuarat berkenaan berakhir 12.57 tengahari apabila Sultan Abdullah yang terakhir keluar dari Istana Negara dengan dilihat tersenyum dan melambai kearah para wartawan di luar perkarangan Istana Negara.

Pemilihan itu diadakan susulan peletakan jawatan Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15. -MalaysiaGazette