Erling Braut Haaland (jersi kuning).

JERMAN – Liga bola sepak Jerman, Bundesliga dan Bundesliga 2 telah bersambung semula malam tadi dalam perlawanan yang diadakan di stadium tanpa penyokong dengan mengamalkan norma baharu.

Antara perlawanan menarik adalah antara Borussia Dortmund menentang Schalke 04 apabila pendahulu liga itu mencatat kemenangan besar 4-0.

Penyerang sensasi Erling Braut Haaland meneruskan ketajamannya di depan gawang dengan gol pembukaan dalam perlawanan itu.

Jika kebiasaannya penjaring gol akan dikerumuni rakan sepasukan, Haaland memastikan jarak antara mereka dengan menari di tepi padang.

Schalke juga menjadi pasukan pertama memanfaatkan peraturan baharu yang membenarkan lima pertukaran dilakukan dalam permainan.

Penambahan pertukaran itu dilakukan bagi mengurangkan risiko kecederaan selepas dua bulan tidak beraksi.

Sementara itu, peminat-peminat yang menonton menerusi televisyen turut melihat pemain-pemain simpanan memakai pelitup.

Ia antara garis panduan ditetapkan untuk Bundesliga meneruskan saingan sebelum liga Eropah lain menyusul.

Bagaimanapun tidak semua peminat bersetuju saingan bola sepak disambung ketika pandemik Covid-19 masih mengorbankan nyawa di seluruh dunia. – MalaysiaGazette