Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah

KOTA KINABALU – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah agar Hakim Syarie di negeri ini dapat menyelesaikan masalah umat Islam dengan seadil dan sebaiknya tanpa mengambil masa yang lama.

Seri Paduka Baginda juga berharap Hakim Syarie dapat melaksanakan segala amanah yang diberikan kepada mereka dengan baik terutamanya dalam menyelesaikan masalah umat Islam di Sabah.

“Kita tahu ada juga rungutan-rungutan kerana kelewatan membuat keputusan yang kecil ataupun keputusan yang besar tetapi ini harus dijadikan satu tanggungjawab bersama untuk menentukan segala urusan berkaitan dengan hal-hal rumah tangga, hal-hal faraid, hal-hal undang-undang syarak perlu diuruskan dengan sebaiknya dan dengan secepat mungkin berlandaskan kepada hukum syariah dan elemen-elemen syariah,” titah Al-Sultan Abdullah semasa merasmikan Kompleks Mahkamah Syariah Negeri Sabah, di sini hari ini.

Projek pembinaan kompleks setinggi empat tingkat itu dengan kos RM58.12 juta merupakan satu projek rancangan boleh pinda di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 yang bermula pada 9 Nov 2017 dan siap pada 22 Julai 2021.

Kompleks itu mempunyai satu dewan perbicaraan Mahkamah Rayuan Syariah, dua dewan perbicaraan Mahkamah Tinggi Syariah, tiga dewan perbicaraan Mahkamah Rendah Syariah, kamar hakim syarie, pejabat pentadbiran, bilik pegawai, bilik sulh, bilik teknologi maklumat, perpustakaan, surau, kafeteria dan taman asuhan kanak-kanak.

Turut hadir Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor, dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Al-Sultan Abdullah yang berangkat dalam jelajah Kembara Kenali Borneo, bertitah Kompleks Mahkamah Syariah Negeri Sabah secara tidak langsung merupakan manifestasi kewujudan pentadbiran Islam bertapak di negeri Sabah setelah wujudnya Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak di negeri ini pada 46 tahun lepas.

“Ini usaha diusahakan kepimpinan terdahulu daripada TYT (Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri) dahulu, Ketua Menteri dahulu, menteri kabinet bertanggungjawab juga mufti-mufti dahulu dan kini,” titah Seri Paduka Baginda.

Pada 23 Dis 1977, Dewan Undangan Negeri Sabah meluluskan Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak 1977 dan melalui enakmen ini Yang Dipertua Negeri Sabah telah diberi kuasa untuk menubuhkan Mahkamah Syariah di negeri ini.

Selepas merasmikan kompleks itu Seri Paduka Baginda berkenan menandatangani plak perasmian kompleks itu dan mengadakan lawatan bagi meninjau sendiri fasiliti disediakan, sebelum bergambar kenangan dengan petugas mahkamah dan kemudian berangkat meninggalkan majlis.

Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah kini berangkat dalam pengembaraan sejauh 2,154 kilometer melalui program Kembara Kenali Borneo dari 3 hingga 13 Sept bermula di Tawau, Sabah dan berakhir di Telok Melano, Sarawak merentasi Lebuhraya Pan Borneo yang menghubungkan Sabah, Sarawak serta Brunei. – BERNAMA