Timbalan Presiden MIC Datuk Seri M. Saravanan

KUALA LUMPUR – MIC akan bertemu dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk berbincang dan mendapatkan penjelasan berhubung isu kemasukan pelajar ke Instuitusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) mengikut merit.

Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan berkata Anwar mungkin tidak dimaklumkan sebelum ini bahawa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak telah memberikan ‘keistimewaan’ kepada kaum India daripada keluarga miskin bagi memastikan masyarakat itu juga boleh mempunyai bilangan graduan tinggi. 

Saravanan berkata demikian kepada portal Xklusif susulan jawapan Perdana Menteri terhadap soalan seorang pelajar India berusia 18 tahun di sebuah kolej matrikulasi Pulau Pinang berhubung isu meritokrasi ke IPTA.

Menurut Anwar, kuota Bumiputera dikekalkan seperti mana yang terkandung di dalam kontrak sosial.

Saravanan berkata walaupun situasi itu bukan perkara baharu di negara ini namun apa yang benar-benar penting ialah mencari penyelesaian kepada keperluan untuk menawarkan lebih banyak pilihan dalam sektor pendidikan tinggi.

“Kita jangan biarkan apa yang berlaku kepada Barisan Nasional (BN) iaitu hilang dua pertiga kuasa berulang kembali. Gabungan PH BN tidak sepatutnya ulangi kesilapan itu.

“Jangan ambil mudah undi orang India. Ya, buat masa ini, pengundi daripada masyarakat India dianggap sebagai simpanan tetap untuk gabungan perpaduan PH-BN tetapi jika nasib mereka tidak ditangani dengan baik, mungkin ada lagi kebangkitan daripada masyarakat,” tegasnya.

Untuk rekod, semasa sesi dialog di Kolej Matrikulasi Pulau Pinang Kepala Batas Ahad lepas bersama Anwar, seorang pelajar India bertanyakan sama ada kerajaan bercadang memansuhkan kuota Bumiptera dan menggantikannya dengan sistem meritokrasi.

Bagaimanapun Anwar memotong pertanyaan tersebut dan menjelaskan beliau sudah menjawab soalan sama sebelum ini.

Beliau turut menegur pelajar berkenaan supaya mengelak daripada membincangkan sistem kuota. -MalaysiaGazette