KUALA TERENGGANU – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah memanggil 12 saksi bagi membantu siasatan kes salah guna kuasa dan rasuah membabitkan RM13 juta dalam perlombongan unsur nadir bumi (REE) di negeri Kedah.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya akan mengambil keterangan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bagi membantu siasatan kes berkenaan susulan tular surat berkaitan perlombongan REE yang ditandatangi beliau.

Tambahnya, SPRM juga sedang mengesan dua lagi saksi luar negara melibatkan dari negara China yang dipercayai membuat pelaburan berkaitan perlombongan bagi melengkapkan siasatan kes itu.

“Kita telah tangkap dua iaitu orang MBI seorang lagi pengarah syarikat swasta yang kita tengah siasat bergubung isu rasuah. Dan setakat tadi kita telah merakam percakapan 12 orang saksi.

“Ada surat yang diviralkan yang dihantar oleh Menteri Besar Kedah itu pun kita nak tengok kebenaran surat itu sebab dah keluar dalam internet,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sejurus selesai Majlis Dialog Ketua Pesuruhjaya SPrM bersama Media Zon Timur di sini, hari ini.

Tambah Azam, pihaknya akan memperhalusi siasatan berkaitan kes itu dan tidak menolak akan memanggil sesiapa yang berkaitan.

“Sesiapa pun akan dipanggil untuk memberi keterangan sebagaimana yang difikirkan perlu. Cuma lambat atau cepat.

“Saya tidak boleh mendedahkan lagi siapa yang akan dipanggil, ramai lagi saksi yang dipanggil. Antara kita nak panggil hal yang berkaitan prosedur untuk meluluskan pengeluaran REE ini dan ada banyak lagi.

“Yang kita akan tanya tentang surat itu, kalau betul betullah. Kalau tak betul, kita nak dia nyatakan.

Ketika ditanya adakah pihak SPRM ditekan oleh pihak tertentu berhubung siasatan ini ketika menjelangnya Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi,  Azam menyangkal sama sekali dakwaan berkenaan.

“Setakat yang saya tahu, kes ini tidak membabitkan ahli politik, cuma dari MBI akan dipanggil.

“Jadi bila menyiasat kita bukan terjah sana sini tapi kita kena buat pengesahan sana sini. Beliau (Sanusi) juga akan dipanggil, itu tidal akan dinafikan.

“Tidak ada yang manipulasi, sama ada PRN ke tidak PRN, yang keluar merit atau tidak kita akan siasat. Saya tidak bergerak atas pentas politik,” tegasnya.

Semalam media melaporkan seorang pegawai tinggi Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah dan seorang pengarah wanita ditahan SPRM bagi membantu siasatan kes tersebut. – MalaysiaGazette