rahmah
Noor Azlan Ghazali

KUALA LUMPUR – Malaysia perlu memujudkan sebuah sistem jaringan keselamatan sosial nasional berpusat bagi memastikan setiap bantuan kepada rakyat dilakukan secara bersasar.

Pakar ekonomi Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali berkata, sistem yang dinamakan sebagai Malaysia Sejahtera itu membolehkan rakyat hanya menggunakan satu sistem untuk memohon bantuan daripada pelbagai kementerian.

Beliau yang merupakan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (Minda) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, ketika ini rakyat terpaksa pergi ke pelbagai kementerian untuk memohon bantuan.

Melalui sistem Malaysia Sejahtera itu, rakyat hanya perlu memasukan beberapa informasi seperti nama dan nombor kad pengenalan dan secara automatik sistem berkenaan akan memberi cadangan bantuan yang diperlukan.

“Bila melihat bantuan kebajikan sebenarnya bukan hanya Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sahaja yang menyediakan tetapi hampir 16 kementerian lain menawarkan bantuan.

“Sistem sekarang tidak ada koordinasi antara pelbagai kementerian. Rakyat tercari-cari dan setiap kali mahu memohon bantuan mereka terpaksa mengisi pelbagai borang yang baharu.

“Sistem sekarang celaru, kreteria yang berbeza-beza, bertindih, perkongsian data yang lemah dan sasaran yang terhad,” kata Dr. Noor Azlan yang juga Ahli Majlis Tindakan Ekonomi (AEC).

Tambah beliau, sistem pemberian daripada pelbagai kementerian tanpa penyelarasan menyebabkan individu yang berhak tidak mendapat bantuan sepatutnya sementara ada yang mendapat bantuan secara berlebihan.

Dr. Noor Azlan berkata, kumpulan yang produktif iaitu rakyat yang sihat tetapi berpendapatan rendah perlu dibantu untuk keluar daripada kemiskinan.

“Ideanya ialah kementerian yang mahu memperkenalkan bantuan perlu melalui sistem ini. Pada waktu ini tidak. Mungkin ada program di bawah Peladang, ibu tunggal, pelajar miskin.

“Nak kekalkan pelbagai saluran ini boleh tetapi maklumat perlu di satu tempat,” katanya.

Menurut Dr Noor Azlan, tanpa penyelarasan berpusat akan menyebabkan tekanan kepada kewangan negara berikutan pemberian bantuan yang berlebihan.

“Kejayaan kita ialah mengeluarkan rakyat daripada bergantung kepada kerajaan. Kerajaan boleh bantu tetapi secara betul dan produktif.

“Kejayaan kerajaan ialah menyakinkan rakyat bahawa perancangan ekonomi ini dapat mengeluarkan mereka daripada program bantuan. Kalau kita nak tengok lebih ramai orang dapat bantuan ia akan membebankan kerajaan,” katanya.

Dr. Noor Azlan membuat cadangan tersebut menyusul titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sempena Hari keputeraan baginda pada Isnin lalu.

Dalam titah Al-Sultan Abdullah, baginda mahu pengurusan negara dalam era pasca pandemik memerlukan suatu rencana yangn bitara mencakupi pelbagai sektor dan aspek kehidupan.

Yang di-Pertuan Agong turut bertitah, bagi menempuh gelora masa hadapan, kerajaan dan semua pihak tanpa mengira fahaman politik perlu berusaha merencanakan pelan jangka panjang bagi membawa negara kembali ke persada kejayaan.-MalaysiaGazette