Balakong
Seorang anggota polis mengundi di Kuarters Balai Polis Seri Kembangan.

SERI KEMBANGAN – Proses Undi Awal pada Pilihan Raya Kecil (PRK) bDewan Undangan Negeri (DUN) Balakong selesai lebih awal, iaitu pada pukul 9.30 pagi daripada waktu yang ditetapkan 12 tengahari.

Difahamkan hanya 28 anggota polis dari Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang menunaikan tanggungjawab mereka sebaik sahaja pusat mengundi dibuka di Kuarters Balai Polis Seri Kembangan pukul 8 pagi tadi.

Mengikut kertas daftar pengundi awal yang dikeluarkan SPR, seramai 31 anggota polis berdaftar layak mengundi.

Menurut sumber, tiga orang lagi tidak dapat menghadirkan diri atas beberapa faktor iaitu telah pencen, tidak dapat dikesan dan dibuang kerja.

Bagaimanapun, menurut pegawai SPR yang bertugas di lokasi berkata , pusat mengundi awal hanya akan ditutup pukul 12 tengahari, mengikut peraturan SPR seperti diwartakan dalam Akta Pilihan Raya 1958.

Calon MCA, Tan Chee Teong melawat pusat undi awal itu pada pukul 8.45 pagi tadi manakala calon Pakatan Harapan, Wong Siew Ki ke sana pukul 9.55 pagi.

PRK Balakong diadakan selepas penyandangnya, Eddie Ng Tian Chee maut dalam kemalangan jalan raya pada 20 Julai lalu.

SPR telah menetapkan 8 September sebagai hari mengundi selepas menerima notis pemakluman kekosongan kerusi DUN Balakong daripada Speaker DUN Selangor, Ng Suee Lim. – MalaysiaGazette