Fuziah Salleh
Fuziah Salleh

KUALA LUMPUR – Golongan transgender dibenarkan menggunakan tandas Orang Kelainan Upaya (OKU) buat sementara waktu ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh berkata, penggunaan tandas OKU itu merupakan penyelesaian terbaik untuk golongan tersebut buat masa ini.

“Jiwa perempuan mereka takut pada lelaki, Kalau masuk tandas lelaki takut dicabul walaupun alat (jantina) mereka lelaki.

“Kalau (masuk) tandas perempuan, wanita pula rasa takut. Sebab itu, saya maklumkan pada menteri dan puji beliau kerana menarik semula kenyataan yang dibuat sebelum ini,” katanya di lobi Parlimen.

Bagaimanapun, pada masa sama Fuziah mahu semua pihak memahami dilema yang dialami oleh transgender.

“Kita cuba fahami mereka buat ketika ini. Ketika ini, mungkin mereka boleh guna tandas OKU, sebagai contohlah ya,” tambahnya.

Fuziah membuat kenyataan itu selepas beberapa jam Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa mengakui terkhilaf mengeluarkan kenyataan berhubung penggunaan tandas wanita oleh transgender.

Mujahid berkata, kenyataan yang dibuat baru-baru ini bukan muktamad atau arahan, sebaliknya ia merupakan reaksi spontannya. – MalaysiaGazette