Vanishaantini bersama kostum wau terbesar tajaan MS Gold malam tadi.

KUALA LUMPUR – Ahli perniagaan, Datuk Abdul Malik Dasthigeer melalui perniagaan emasnya, MS Gold tampil menaja Mrs Malaysia World 2023 P. Vanishaantini yang bakal memperagakan kostum wau terbesar di Las Vegas awal tahun depan.

Vanishaantini akan merebut gelaran Best National Costume pada pertandingan Mrs World 2023 di Amerika Syarikat (AS) Januari ini.

Bercakap kepada MalaysiaGazette, pemilik MS Gold yang juga  Ketua Pegawai Eksekutif Malik Streams Corporation (Malik Streams), Datuk Abdul Malik Dashtigeer berkata, beliau cukup teruja apabila kostum itu juga dinobatkan oleh Malaysia Book Of Records (MBOR) sebagai kostum wau terbesar.

Kata Abdul Malik, beliau cukup yakin bukan sahaja dengan peragaan unik itu sebaliknya juga berpandangan penyertaan Vanishaantini juga bakal membawa kemenangan selain mengharumkan nama negara di persada dunia.

“Kerana itu juga MS Gold tampil menaja, kerana kita yakin penyertaan dan hasil kreativiti ini mampu memberi berita baik bagi rakyat di negara ini. Kostum ini sendiri memberi fokus kepada simbol kebanggaan negara hasil kraftangan tempatan.

“Cik Vanishaantini juga mereka duta MS Gold ketika ini. Beliau bakal memperagakan kostum seberat kira-kira 10 kilogram di hadapan seluruh dunia dan MS Gold berbangga dapat menjadi penaja kepada acara ini,” katanya.

Ketua Eksekutif Malik Streams Corporation, Datuk Abdul Malik Dasthiger

Untuk makluman, kostum ini telah direka oleh Saran Anak Lagong yang bersaiz 3.8 meter tinggi dan 4.8 meter lebar.

Dalam pada itu, Abdul Malik juga mendedahkan beliau bakal membuka cawangan ketiga MS Gold pada masa terdekat di Seremban selepas kejayaan besar perniagaan itu di dua cawangan di Jalan Masjid India ketika ini.

Malik Streams juga merupakan sebuah syarikat yang aktif dalam bidang hartanah, import dan eksport serta pengurup wang sebelum melebarkan portfolio bisnesnya kepada perniagaan emas. -MalaysiaGazette