MANCHESTER – Pemain tengah Manchester United, Morgan Schneiderlin disahkan sedang menjalani pemeriksaan kesihatan untuk melengkapkan perpindahan ke Everton, menurut laporan M.E.N.

Schneiderlin telah membuat 29 penampilan di bawah kendalian Louis van Gaal namun hanya tiga kali diberi peluang untuk bermain di bawah Jose Mourinho.

Pemain berusia 27 tahun itu bersedia untuk berhijrah dari Old Trafford ke Goodison Park selepas kelab tersebut bersetuju dengan yuran perpindahan sebanyak 22 juta pound.

Schneiderlin berpindah ke Old Trafford dari Southampton dengan perjanjian bernilai 25 juta pound pada Julai 2015.

Namun dia bergelut dengan masalah prestasi sejak ketibaan Mourinho di Old Trafford pada musim panas lalu.

Pemain kebangsaan Perancis itu kini akan bekerjasama semula dengan bekas pengurus Saints, Ronald Koeman di Merseyside.

Schneiderlin masih belum membuat sebarang penampilan pada aksi Liga Perdana Inggeris musim ini.

Jika perjanjian itu dimuktamadkan, Schneiderlin akan menjadi pemain kedua menyertai Everton bulan ini selepas kehadiran pemain sayap Ademola Lookman dari Charlton.

The Toffees turut dikaitkan dengan seorang lagi pemain United iaitu Memphis Depay dan penyerang West Brom, Saido Berahino serta pemain pertahanan Southampton, Jose Fonte. – MalaysiaGazette