Tuan Ibrahim Tuan Man

SHAH ALAM – Kehadiran Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Naib Presidennya, Datuk Iskandar Abdul Samad pada majlis pelancaran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PBBM) malam ini, mendapat restu Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Parti (Pas) menerima jemputan dari PPBM, minta hadir. Presiden (Pas) setuju dan minta saya serta Datuk Pesuruhjaya Pas Selangor datang atas semangat setiakawan dalam politik.

“Pas tidak ada masalah dengan PPBM. Begitu juga dengan PKR. Kita boleh duduk se pentas. Cuma kita tidak bersedia untuk bergabung dengan mereka dalam Pakatan Harapan (PH),” katanya ketika ditemui di Stadium Malawati di sini, malam tadi.

Beliau dan Iskandar antara yang hadir bersama pemimpin pembangkang yang lain iaitu Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; Timbalan Presiden PKR yang juga Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Presiden Parti Amanah Negara (PAN) serta Mohamad Sabu dan Timbalannya, Salahuddin Ayub.

Ditanya, adakah kehadirannya memberi gembaran bahawa Pas akan bersama PPBM dalam PH untuk menentang Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14) ini, katanya, Pas setakat ini selesa dengan Parti Ikatan Malaysia (Ikatan) menerusi Gagasan Sejahtera (GS). – MalaysiaGazette