Azmin Ali

GOMBAK – Timbalan Presiden PKR mengakui proses kerjasama antara parti pembangkang menjelang PRU-14 sukar dan rumit.

Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bagaimanapun yakin satu kesepakatan akan dicapai apabila kepentingan negara melebihi daripada kepentingan individu.

“Ia satu proses yang rumit dan tidak akan selesai dalam satu pertemuan sahaja. Saya masih yakin dengan pendirian parti politik melainkan Barisan Nasional (BN).

“Ekonomi kita sekarang semakin tenat dan kita perlukan ‘doktor’ dan ‘doktor’ itu ada dalam Pakatan Harapan,” ujarnya semasa sidang media selepas melancarkan Skim Peduli Sihat di sini hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kecenderugan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang dikatakan sudah menutup ruang kerjasama dengan Pas bagi merangka srategi satu lawan satu dengan BN pada PRU-14.

Mohamed Azmin berkata, dalam demokrasi mesti ada tolenrasi dan perlu bersikap lapang dada seperti yang ditunjukkan oleh mentornya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang juga Menteri Besar Selangor juga memaklumkan beliau bertemu dengan Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Pengerusi PPBM, Tun Dr. Mahathir Mohamad bagi membincangkan strategi pembangkang malam tadi.

“Kita tidak tahu tarikh pilihan raya, strategi tidak boleh beritahu media ini..ini strategi. Kalau saya boleh umum (pilihan raya) saya setuju,” katanya ketika ditanya apa topik perbincangannya dengan wakil PPBM.

Beliau seterusnya berseloroh, tarikh pilihan raya umum selepas PRU-14 nanti beliau akan mengumumkannya.

Ahli Parlimen Gombak itu juga menafikan ucapannya semasa melancarkan Skim Peduli Sihat hari ini sebagai kempen politik walaupun sebahagian besar daripadanya mengkritik kerajaan termasuk berjanji akan menghapuskan GST sekiranya PH memerintah negara ini.-MalaysiaGazette

Comments are closed.