Home Nasional Tiada larangan pindah organ bukan Islam kepada orang Islam

Tiada larangan pindah organ bukan Islam kepada orang Islam

KUALA LUMPUR – Mufti Wilayah Persekutuan berkata, tidak ada larangan untuk memindahkan anggota seseorang bukan Islam kepada Islam.

Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri berkata, ini kerana anggota seseorang itu tidak bersifat dengan Islam atau kufur tetapi ia hanya alat yang digunakan oleh manusia untuk melaksanakan tuntutan akidah dan manhajnya dalam kehidupan.

“Apabila sesuatu bahagian anggota berpindah daripada seorang bukan Muslim kepada seorang Muslim, maka anggota tersebut menjadi sebahagian daripada tubuh badan Muslim tersebut.

“Seterusnya, anggota tersebut digunakan untuk menunaikan tanggungjawabnya, seperti yang diperintahkan oleh Allah SWT.

“Bahkan kita menghukumkan bahawa anggota badan bukan-Muslim adalah Islam. Kami berpegang bahawa seluruh anggota, organ termasuk darah sentiasa bertasbih memuji-Nya dan sentiasa patuh dan taat kepada perintah-Nya,” katanya dalam Facebooknya.

Berkenaan dengan persoalan sama ada pendermaan darah daripada orang bukan Islam yang mungkin memakan makanan seperti khinzir, beliau berkata, hukumnya adalah dibolehkan kerana ia adalah darah dan bukan lagi zat khinzir atau ‘ain (essence) khinzir secara total.

Begitu juga darah seperti yang diketahui terbentuk daripada nutrisi-nutrisi hasil makanan dan minuman yang pelbagai.

Zulkifli menambah, darah tidak hanya terbentuk dengan zat khinzir atas faktor perubahan istihalah (the transformation of a substance’s properties resulting in the removal of its impure nature).

Jelasnya, keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-4 yang bersidang pada 13-14 April 1982 telah membincangkan Derma Darah dan Penggunaan Darah Orang Islam Kepada Orang Bukan Islam Dan Sebaliknya. Muzakarah telah memutuskan menderma darah hukumnya harus dan tidak perlu diasingkan darah orang Islam daripada darah orang bukan Islam.

Sehubungan itu, tidak menjadi kesalahan untuk menderma darah walaupun seseorang bukan Muslim itu memakan makanan seperti khinzir.

Sebaliknya, beliau menyarankan agar penderma darah diberi penghargaan dan sedikit keistimewaan agar kempen derma darah dapat disemarakkan di samping bekalan darah negara sentiasa mencukupi bahkan melebihi paras biasa. – MalaysiaGazette