Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani (kiri) dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah (kanan) menaiki sebuah model kereta klasik jenama Ford pada majlis Pelancaran Kalendar Acara Pelancongan Langkawi di Taman Botani Perdana, Kuala Lumpur. foto ASHRAF MUSTAQIM BADRUL MUNIR, 21 FEBRUARI 2017.

KUALA LUMPUR- Kerajaan Negeri Kedah telah mengarahkan Majlis Perbandaran Langkawi untuk memantau dan mengambil tindakan terhadap peniaga-peniaga yang menaikkan harga barangan dan perkhidmatan di pulau itu semasa musim puncak.

Musim puncak adalah ketika pulau itu menerima kedatangan pelancong yang lebih ramai seperti semasa cuti umum, cuti persekolahan mahupun ketika pelbagai acara diadakan di Langkawi.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, beliau sudah maklum mengenai perkara tersebut dan mahukan Majlis Perbandaran Langkawi mengambil tindakan segera bagi memastikan imej pulau lagenda itu tidak terjejas.

“Peniaga-peniaga biasalah, ada yang suka mengambil kesempatan tetapi arahan telah dikeluarkan kepada Majlis Perbandaran Langkawi.

“Selain itu, aspek-aspek lain seperti kebersihan dan keselamatan juga dipertingkatkan pada tahun ini.

“Ini bagi memastikan sasaran peningkatan pengunjung dapat dicapai seiring dengan pelbagai acara yang telah diatur sepanjang tahun untuk menarik pelancong ke Langkawi,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis pelancaran Kalendar Acara Langkawi 2017 di sini hari ini.

Majlis disempurnakan oleh Menteri Kewangan Kedua yang juga Pengerusi Bersama Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Menurut Ahmad Bashar, sejumlah 3.8 juta pelancong dijangka melawat Langkawi tahun ini, meningkat daripada 3.6 juta yang direkodkan tahun lalu. -MalaysiaGazette