Rodrigo Rato

MADRID – Bekas ketua Dana Kewangan Antarabangsa, Rodrigo Rato dijatuhi hukuman empat dan setengah tahun penjara kerana menggelapkan wang daripada dua bank Sepanyol yang pernah diterajuinya.

Rato, 67, telah menafikan sebarang salah laku.

Mahkamah Madrid mendapati Rato dan lebih 60 orang kakitangannya bersalah kerana tidak mengisytiharkan penggunaan kad kredit bagi membiayai gaya hidup mewahnya.

Sejumlah 12 juta euro (£10.1 juta; AS$12.7 juta) telah dibelanjakan daripada dua bank iaitu Caja Madrid dan Bankia antara tahun 2003-2012.

Bankia diselamatkan pada tahun 2012 daripada perbelanjaan awam yang besar.

Kira-kira 200,000 penyimpan-penyimpan kecil – yang telah dipujuk untuk menukar simpanan mereka kepada saham sebelum pengapungan Bankia pada tahun 2011 telah kehilangan wang mereka.

Semasa perbicaraan, Rato memberitahu, kad kredit korporat adalah sebahagian daripada pakej gaji beliau.

Semua pembelian menerusi kad dalam tempoh itu tidak diisytiharkan kepada pihak berkuasa cukai.

Rato meletak jawatan sebagai ketua Bankia sejurus sebelum bank itu hampir runtuh pada tahun 2012.

Beliau menerajui IMF pada tahun 2004 hingga 2007. Sebelum itu beliau berkhidmat sebagai Menteri Ekonomi Sepanyol. – MalaysiaGazette