Khalid Abu Bakar

SEPANG – Polis sedang menyiasat bagaimana senjata kimia agen saraf VX yang dikesan pada mayat Kim Jong-nam boleh dibawa masuk ke Malaysia.

“Ini kerana, agen saraf VX adalah haram di negara ini,” kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar ketika ditemui di Lapangan Terbang Kuala Lumpur.

Beliau berkata demikian selepas mengesahkan analisa yang dijalankan ke atas mayat Kim Jong-nam menemui agen saraf VX.

Keputusan itu diperoleh daripada analisa awal ke atas eksibit swab yang diambil dari mata dan muka Jong-nam.

VX telah disenaraikan sebagai senjata kimia di bawah Jadual 1. Akta Konvensyen Senjata-Senjata Kimia Malaysia 2005 dan Konvensyen Senjata-Senjata Kimia (CWC) 1997.

Khalid turut menjelaskan berita yang keluarga Kim Jong-nam tidak akan tiba di Malaysia dalam tempoh terdekat ini.

Malah, beliau turut menafikan dakwaan Polis Malaysia akan ke Macau untuk mengambil sampel DNA daripada waris Jong-nam.

Sebaliknya, kata beliau, polis sudah meminta bantuan Kedutaan Korea Utara untuk mendapatkan keluarga Jong-nam untuk tampil mengecam identiti dan menuntut mayat tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, Khalid memberitahu, polis juga belum mendapat maklum balas daripada Kedutaan Korea Utara yang diminta membantu mengesan dua lelaki warga negara itu yang dikenal pasti sebagai saspek dalam kes pembunuhan itu.

Pada sidang akhbar dua hari lalu, Khalid berkata, polis mengenal pasti seorang pegawai kanan Kedutaan Korea Utara dan seorang kakitangan syarikat penerbangan Korea Utara.

Kedua-dua suspek dipercayai masih berada di Malaysia dan sudah dipanggil untuk disoal siasat.

Kakitangan kedutaan Korea Utara itu dikenali sebagai Hyom Kwang Song, 44, berkhidmat sebagai setiausaha kedua. Beliau tiba di Malaysia pada 20 September 2016 manakala kakitangan syarikat penerbangan Korea Utara pula dikenali sebagai Kim Uk Il, 37, dan tiba di Malaysia sejak 29 Januari lalu. – MalaysiaGazette