Ketua Polis Negeri Selangor, Datuk Seri Abdul Samah Mat bercakap pada sidang media selepas selesai operasi mengesan bahan toksik dan kimia di kawasan kematian Kim Jong-Nam, abang tiri kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-Un yang mati dibunuh pada 13 februari lau di KLIA2, Sepang. foto MOHD HAZROL ZAINAL, 26 FEBRUARI 2017.

SEPANG – Polis telah merampas barang-barang dipercayai milik empat saspek Korea Utara yang dikehendaki polis yang sudah melarikan diri ke negara republik itu sejurus selepas pembunuhan Kim Jong-nam pada 13 Februari lalu di klia2.

Ketua Polis Selangor, Datuk Seri Abdul Samah Mat berkata, barang dan sampel yang dikaitkan dengan empat saspek berkenaan diambil dari sebuah kondominium di dipercayai di Lembah Klang.

“Kita rampas beberapa barang serta sampel yang berkaitan empat saspek yang melarikan diri ke Korea Utara selepas kejadian itu,” katanya dalam sidang media khas di klia2 pagi tadi.

Bagaimanapun, beliau berkata, polis tidak boleh mendedahkan butiran lanjut berkaitan rampasan itu termasuk lokasi.

Malah, polis juga tidak boleh mendedah maklumat lanjut mengenai kondominium yang dipercayai disewa oleh empat saspek yang dikehendaki polis itu.

Katanya lagi,, kesemua sampel yang dikaitkan dengan empat suspek itu telah dihantar ke jabatan kimia untuk dianalisa.

“Kita sudah serahkan kepada Jabatan Kimia untuk dianalisa, sedang menunggu keputusan kimia itu,” ujarnya lagi.

Abdul Samah berkata, polis sedang menyiasat sama ada toksik terlarang yang ditemui pada anggota badan simati diimport atau dihasilkan di sini. – MalaysiaGazette