S. Vell Paari

KUALA LUMPUR – Penasihat DAP, Lim Kit Siang dianggap pilih kasih dan hipokrit ekoran tindakannya mendesak Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin pergi bercuti ekoran kes anak seorang Exconya didakwa terlibat dalam kes rasuah.

Gesaan Kit Siang itu menyusul selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan suspek berkenaan baru-baru ini.

Bendahari Agung MIC, Datuk Seri S. Vell Paari membidas Ahli Parlimen Gelang Patah itu dan mendakwa veteran DAP itu tidak menggunakan otak.

“Isu rasuah hartanah itu melibatkan anak exco negeri bukannya menteri besar, kedua exco berkenaan Datuk Abdul Latif Bandi secara sukarela bercuti panjang daripada jawatan kerajaan negeri untuk membantu siasatan itu secra telus tanpa ada campur tangan.

“Menteri Besar juga menyatakan pihaknya sedia bekerjasama dalam siasatan ini tetapi Kit Siang seolah tidak mahu menerima fakta bahawa kerajaan Johor mengambil langkah proaktif untuk memastikan siasatan SPRM dilakukan dengan profesional.

“Kit Siang hanya mempolitikkan isu demi kepentingan politik partinya.

“Saya dengan tegas mengingatkan Kit Siang dari parti cauvanis itu bahawa daripada meminta Khaled bercuti, lebih baik nasihati anak anaknya (Lim Guan Eng) bercuti sehingga kes rasuah terhadapnya di mahkamah selesai dan dibuktikan tidak bersalah,” katanya dalam satu kenyataan kepada MalaysiaGazette hari ini.

Vell Paari mendakwa Guan Eng merangkap Ketua Menteri Pulau Pinang itu dituduh atas dua pertuduhan rasuah tetapi menggunakan kedudukannya untuk kepentingan peribadi.

Guan Eng dituduh dibawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 dan Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Beliau turut mengingatkan Kit Siang bahawa anak Abdul Latif hanya disiasat dan belum didakwa di mahkamah tetapi bapanya sebagai Exco negeri mengambil tanggungjawab dan bercuti secara sukarela.

“Kenapa Kit Siang tidak boleh menasihati anaknya (Guan Eng) mengambil tindakan yang sama sebagai seorang pemimpin bertanggungjawab

“Ini jelas menunjukkan bahawa Kit Siang mempraktikkan sikap pilih kasih dan mempunyai dua peraturan berbeza. satu adalah untuk BN dan satu lagi adalah untuk pemimpin DAP.

“Ini adalah sikap perlakuan hipokrit dan sikap mementingkan diri sendiri, manusia sebegini (Kit Siang) tidak berhak atau tidak layak menjadi pemimpin negara ini,” bidasnya lagi. -MalaysiaGazette