Kongsi
Teresa Kok

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok yang sebelum ini menafikan ada menerima wang dari Kerajaan Selangor kini membuat ‘pusingan-U’ apabila mengaku ada menerima dana dibawah Program Skim Mesra Usia Emas (SMUE) yang disalurkan melalui Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS).

Teresa mengakui ada menerima kad debit untuk mengeluarkan wang dan diberikan kepada orang ramai di dalam kawasan Parlimennya.

Ia secara tidak langsung menjawab tuduhan yang dibuat oleh Pengerusi Gabungan NGO Selangor, Datuk Seri Jamal Md. Yunos dimana beliau menuduh Teresa salah seorang daripada wakil rakyat DAP di Kuala Lumpur yang menerima dana daripada YAWAS.

“Tentulah semua ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) di bawah program SMUE memang guna ATM kad yang diberi kepada kita, bukan saya sahaja semua ADUN yang ada di bawah program SMUE memang ada kad, sudah lama sejak zaman Tan Sri Khalid (Khalid Ibrahim) sampai sekarang,” jawab Teresa semasa ditemui di Parlimen hari ini.

Pengakuan Teresa itu berbeza dengan jawapan sebelum ini di mana beliau menafikan ada menerima wang daripada kerajaan negeri.

Jelas Teresa, Jamal sebenarnya tidak tahu apa yang berlaku dan hanya cuba mencari masalah dengan kerajaan negeri sehingga membabitkan dirinya dalam hal ini.

“Jamal blur tak tahu apa berlaku, saja nak cari pasal dengan kerajaan negeri Selangor, heret masuk nama saya yang ahli parlimen KL dan masuk yang lain sekali macam semua ini rasuah, kalau memang rasuah berlaku, ingat saya boleh berada di sini?” soalnya merujuk kepada dirinya yang masih menjadi wakil rakyat Seputeh.

Mempertahankan langkah pemberian dana itu, Teresa berkata, terdapat ramai rakyat berasal dari Selangor yang menetap di kawasannya Seputeh.

“Ramai berasal dari Selangor yang duduk di Kuala Lumpur dalam kawasan parlimen saya,” ujarnya lagi.

Jamal sebelum ini juga mendesak Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menjawab dakwaan transaksi YAWAS berjumlah RM200 juta yang disalurkan kepada ahli parlimen di Kuala Lumpur sedangkan ia wang rakyat Selangor.

Mohamed Azmin bagaimanapun ‘mengunci mulut’ daripada menjawab tuduhan itu walaupun Jamal mendesak supaya Menteri Besar Selangor itu menyamannya jika dakwaan dibuat itu satu fitnah.

Jamal juga sebelum ini sudah menyerahkan dokumen bukti penyelewengan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor antaranya surat daripada Perbendaharaan Negeri Selangor bertarikh 13 Disember 2013 kepada pengurus cawangan Ambank yang memohon membuka akaun bagi SMUE di atas beberapa ahli parlimen Wilayah Persekutuan. – MalaysiaGazette

1 Komen

Tinggalkan Jawapan