Subahan Kamal

KUALA LUMPUR – Rasanya semua sudah tahu dengan keputusan pemilihan dalam Kongres Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi edisi 2017-2021 yang berlangsung di Petaling Jaya dekat sini semalam.

Selain perlantikan Tengku Muda Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebagai Presiden baharu, FAM turut mendapat dua Timbalan Presiden FAM baharu iaitu Datuk Seri Subahan Kamal dan Datuk Mohd. Yusoff Mahadi.

Dalam banyak komen-komen daripada netizen antara mereka mahu Subahan memberi fokus kepada FAM memandangkan beliau banyak dan aktif dalam banyak persatuan-persatuan sukan lain.

Subahan juga Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) dan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).

Ramai yang mula mempertikaikan bagaimana Subahan akan dapat memberi komitmen tinggi kerana dia memegang tiga jawatan tertinggi.

Malah ada yang menempelak seperti tiada lagi pemimpin sukan lain yang ada di dalam negara ini yang boleh memegang jawatan.

Namun ada juga yang yakin bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Taman Templer dapat mengurus masa dengan baik berdasarkan pengalaman memimpin semua persatuan sukan yang diketuainya.

Kepimpinan Subahan juga disokong oleh pemain Selangor, Razman Roslan sebaik Subahan diumumkan Timbalan Presiden FAM.

Kata Razman, Subahan merupakan seorang pemimpin yang kurang bercakap dan kerja berjalan malah pemain pertahanan itu memuji-muji Roslan yang membantu membayar gaji pemain sepatutnya tanggungjawab itu dipikul oleh pemimpin lain.

Semalam, cubaan kali kedua Subahan akhirnya membuahkan hasil selepas tewas dalam pemilihan penggal lalu apabila meraih 37 undi daripada 38 perwakilan yang hadir dalam pemilihan.

Katanya kepada pihak media, biar pun beliau turut menyandang jawatan presiden KHM dan FAS, Subahan memberi jaminan beliau akan meletakkan tugasnya selaku timbalan presiden FAM sebagai keutamaan. – MalaysiaGazette