AHMAD ZAHID HAMIDI

KUALA LUMPUR – Sebanyak 82 peratus projek Aku Janji Kerajaan Persekutuan (AKP) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) dengan peruntukan RM72.26 bilion telah siap sepenuhnya sehingga 15 Mac lalu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, projek-projek tersebut ialah Perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) laluan Sungai Buloh ke Semantan sepanjang 23 kilometer melibatkan 12 stesen.

Projek lain ialah penyambungan jajaran Transit Aliran Ringan (LRT) dari Sri Petaling dan Kelana Jaya ke Putra Heights sepanjang 35.1 km dengan kos RM9.54 bilion.

Selain itu pembinaan 234,832 buah rumah mampu milik, kemudahan akses jalur lebar di seluruh negara melalui penyediaan 230,366 port Internet baharu dengan kos RM1.8 bilion.

Sebanyak sembilan buah sekolah baharu siap dibina dengan kos RM343.45 juta dan membaik pulih 161 buah sekolah daif di Sabah dan Sarawak dengan peruntukan RM37 juta serta menaik taraf kemudahan perubatan hemodialisis di 22 buah hospital berjumlah RM5 juta.

Projek itu turut melibatkan jalan berturap sepanjang 5,797 kilometer dengan kos RM7.66 bilion, pembinaan lima buah Pusat Transformasi Bandar (UTC) di Kuala Lumpur, Melaka, Pahang, Perak dan Kedah.

Juga pembinaan lapan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) di Miri dan Betong (Sawarak), Kulai (Johor), Jasin (Melaka), Pekan (Pahang), Dungun (Terengganu), Kota Bharu (Kelantan) dan Jitra (Kedah).

“Tanggungjawab Jawatankuasa Kebangsaan AKP ini adalah untuk memastikan pelaksanaan kesemua janji kerajaan Persekutuan semasa PRU-13 pada tahun 2013 yang lalu berjalan lancar dan dilaksanakan sepenuhnya dengan kaedah menyelesaikan isu-isu pelaksanaan yang memerlukan keputusan jawatankuasa peringkat tertinggi,” katanya.

Ahmad Zahid sebelum itu mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kebangsaan Aku Janji Kerajaan Persekutuan di Bangunan Utama Parlimen.

Beliau berkata, berkata mesyuarat itu memfokuskan tiga inisiatif AKP iaitu Menangani Kos Sara Hidup; Pembangunan Infrastruktur Bertaraf Dunia dan Transformasi Luar Bandar; serta Membina Kecemerlangan Pendidikan.

Sebanyak lima kertas pembentangan telah dibincangkan pada mesyuarat tersebut yang memberi tumpuan kepada isu kelangsungan projek, keupayaan pencapaian sasaran inisiatif dan isu pelaksanaan semasa, katanya.

“Tanggungjawab Jawatankuasa Kebangsaan AKP ini adalah untuk memastikan pelaksanaan kesemua janji kerajaan Persekutuan semasa PRU-13 pada tahun 2013 yang lalu berjalan lancar dan dilaksanakan sepenuhnya dengan kaedah menyelesaikan isu-isu pelaksanaan yang memerlukan keputusan jawatankuasa peringkat tertinggi,” katanya.

Ahmad Zahid berkata selaras dengan aspirasi 2017 sebagai Tahun Penyampaian, komitmen kerajaan untuk merealisasikan AKP diteruskan dengan pelaksanaan program dan projek seperti peningkatan amaun Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dengan kos RM6.8 bilion.

Ia turut melibatkan pembinaan pusat Anjung Kasih di Hospital Queen Elizabeth di Sabah, Hospital Sultanah Aminah di Johor dan Hospital Serdang di Selangor, Hospital Besar Pulau Pinang dan Hospital Sultanah Bahiyah di Kedah.

Selain itu program e-Usahawan dan e-Rezeki dengan kos RM100 juta untuk meningkatkan pendapatan 300,000 peserta.

Katanya, mulai Julai tahun ini, kerajaan akan melaksanakan projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL). – MalaysiaGazette