Faiz Fadzil
Faiz Fadzil

KUALA LUMPUR – Tindakan pesalah rogol bagi kes mangsa di bawah umur dan kesalahan dilakukan bukan secara paksa, mengahwini mangsa berkenaan tidak bermakna membebaskan seorang lelaki daripada  jenayah yang dilakukan.

Walau bagaimanapun, menurut peguam syarie, Muhammad Faiz Fadzil, dalam beberapa keadaan tertentu, perkahwinan di antara perogol dan si mangsa dibolehkan bagi menjamin masa depan mangsa rogol tersebut.

“Saya tak setujulah kalau lepas rogol (paksa) boleh kahwin. Kes ini, kes suka sama suka. Jadi rogol sebab bawah umur.

“Tapi, di mahkamah pun kebanyakan mereka mengaku bercinta suka sama suka sampailah terlanjur. Itu bukan rogol (paksa), dia jadi rogol sebab undang-undang bawah umur,” katanya.

Menurutnya, ketika mengikuti kes-kes yang serupa, kebanyakan ‘mangsa’ rogol merupakan pasangan kekasih suka sama suka kepada si pemangsa.

Tetapi, disebabkan gadis itu di bawah umur 16 tahun, hubungan seks suka sama suka tersebut diklasifikasikan sebagai kes rogol.

Dalam keadaan tersebut, sekiranya si ‘mangsa’ didapati mengandung, perkahwinan merupakan jalan terbaik bagi menjaga kebajikan dari segi pendidikan, psikologi si ‘mangsa rogol’, selain kebajikan anak dalam kandungan tersebut.

Perundangan Islam yang tidak membenarkan anak angkat untuk berbin si bapa angkat juga menjadi faktor kepada perlunya perkahwinan sebagai jalan penyelesaian terbaik bagi kes di atas.

Namun, menurut Faiz, ianya perlulah mendapat persetujuan daripada pihak keluarga si perempuan, ibu-bapa dan kebenaran daripada pihak mahkamah syariah.

Perkahwinan tersebut bukanlah bersifat untuk menghapuskan dosa atau kesalahan merogol, sebaliknya peguam negara mempunyai hak untuk meneruskan kes bagi kesalahan rogol tersebut, meskipun keduanya sudah berkahwin. – MalaysiaGazette