Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mendengar penerangan dari Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Amin Nordin (kanan) mengenai replika Pangsapuri Bandaraya @Sungai Udang selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan Pangsapuri Bandaraya @ Sungai Udang di Kampung Sungai Udang, Segambut, Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 17 APRIL 2017.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini melancarkan konsep baharu pembinaan perumahan pangsapuri berbentuk simpanan kepada penyewanya.

Sudahlah dapat rumah, pemiliknya akan menerima wang sebanyak RM18,000 dalam masa lima tahun.

Konsep tersebut akan digunakan dalam Projek Pangsapuri Bandaraya Sungai Udang di Segambut dengan kadar sewa sebanyak RM800 sebulan.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM500 adalah kadar sewa sementara bakinya RM300 akan dijadikan simpanan kepada penyewa.

“Projek ini belum pernah dilaksanakan di Malaysia, tak tahu sama ada sudah ada di negara lain.

“Inilah keistimewaan kerajaan Barisan Nasional (BN), sentiasa fikirkan sesuatu yang baik untuk rakyat. Jangan sentiasa terpengaruh dengan hasutan pembangkang,” kata Najib semasa Majlis Pecah Tanah Pangsapuri Bandaraya Sungai Udang di Segambut petang tadi.

Jelas Perdana Menteri, projek itu disasarkan kepada keluarga golongan berpendapatan bawah RM10,000 sebulan dan wang simpanan yang dipulangkan itu akan membantu mereka sebagai bayaran pendahuluan untuk membeli rumah yang lebih selesa selepas lima tahun.

Projek dikendalikan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersama Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan juga beberapa agensi kerajaan lain.

Secara keseluruhan, sebanyak 1251 unit rumah akan dibina dengan melibatkan dua blok bangunan setinggi 34 tingkat dan berkeluasan 807 kaki persegi setiap satunya.

Kemudahan-kemudahan seperti surau, lot perniagaan, kolam renang dan pelbagai lagi akan disediakan kepada penyewanya.

Projek seluas 36,485 kaki persegi itu dijangka siap pada Disember 2019.

Najib juga menasihati kepada penduduk setempat supaya tidak mengulangi kesilapan yang pernah berlaku melibatkan penduduk Residensi Kerinchi apabila mereka termakan hasutan pembangkang sehingga merugikan diri sendiri.

“Kita mesti tahu kaca dan permata, antara hak dan batil dan sebagai kerajaan, BN tidak pernah tipu rakyat tapi kita buat untuk rakyat.

“Projek ini kemungkinan akan dilaksanakan di beberapa kawasan lain sekitar Kuala Lumpur,” katanya lagi. – MalaysiaGazette